KULAI: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) hampir pasti bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk brrtanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, perbincangan antara PH dan Muda sedang berlangsung dan kerjasama antara kedua-dua pihak itu diyakini bakal dimuktamadkan.
“PH sudah mengadakan pertemuan dengan Muda dan kita jangka dapat capai keputusan untuk jalin kerjasama dalam PRN Johor ini. Kerjasama itu menyaksikan parti komponen PH secara bersama akan menyerahkan sebahagian kuota kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi kepada Muda.
“Pertemuan pertama diadakan bersama Pengerusi Muda Johor, Mohd. Azrol Ab. Rahani dan juga Setiausaha Agung Muda, Nur Amira Aisyah Abd. Aziz sebelum Tahun Baharu Cina lalu,” katanya selepas bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat Pekan Kelapa Sawit yang turut dihadiri Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh di sini hari ini.
Tambah Jimmy, satu lagi mesyuarat akan diadakan untuk memuktamadkan kerjasama berkenaan sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat keputusan berhubung tarikh PRN Johor pada 9 Februari ini.
Ketika ditanya ditanya sama ada akan kembali dicalonkan dalam PRN Johor ini, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Batu itu hanya berkata sebarang keputusan akan diputuskan kepemimpinan peringkat pusat.
Sementara itu, beliau berkata, program dihadiri Anwar itu bukan satu kempen dijalankan PKR sebaliknya ia merupakan tentatif dalam siri jelajah dua hari Ahli Parlimen Port Dickson itu ke negeri ini.
“Datuk Seri (Anwar) turut dijadualkan melancarkan jentera Angkatan Muda Keadilan (AMK) sempena PRN Johor di Hotel DoubleTree, Johor Bahru, esok,” ujarnya.
Ketua Pembangkang itu tiba di sebuah restoran dan meluangkan masa untuk beramah mesra dengan pengunjung sebelum melakukan tinjauan ke lukisan mural yang popular di pekan berkenaan.
Dalam pada itu, Anwar ketika ditemui memberitahu mereka akan mengumumkan senarai nama calon-calon parti berkenaan bagi PRN Johor dalam waktu terdekat.
– UTUSAN ONLINE