Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Angin perubahan, rakyat mahu BN jadi kerajaan semula -Zahid


ISKANDAR PUTERI: Barisan Nasional (BN) yakin pengundi Johor yang terpedaya dengan simbahan fitnah dimainkan pembangkang yang menyebabkan parti itu tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), kini sudah menyesal dan akan kembali mengundi parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau menyaksikan satu perubahan besar sedang berlaku dengan rakyat kini mahukan BN menjadi kerajaan semula.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, parti merasakan perubahan besar yang sedang berlaku itu perlu diterjemahkan dalam peti undi nanti, sekali gus jentera parti perlu bekerja gigih memastikan perkara itu berlaku.

"BN dan UMNO tewas pada PRU-14 kerana simbahan fitnah menyebabkan kita tumbang di Johor.

"Fitnah yang ditabur menguasai pemikiran pengundi di Johor ketika itu, namun kini rakyat sudah menyesal.

"Kita yakin penyesalan ini akan ditebus semula pada PRN Johor kerana rakyat mahu lihat kestabilan politik di bawah pentadbiran kita.

"Insya-Allah BN akan terus relevan di Johor, bumi kelahiran UMNO dan kita akan bangkit semula pada PRN Johor ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Pusat Operasi Zon Barat, di Stadium Tertutup Educity, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan merangkap Pengarah PRN Johor serta Pengerusi BN Johor merangkap Pengerusi UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad yang juga Ketua Penyelaras PRN Johor; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Bendahari BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Mohamed.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, kebangkitan BN dan UMNO terbukti apabila parti yang sebelum ini hanya tinggal empat parti gabungan, kini menerima permohonan banyak parti bagi menyertai semula parti terbesar negara itu.

"Kini banyak parti memohon untuk sertai BN kembali. Mana mungkin mereka nak sertai kita, kalau kita tidak kuat.

"BN akan bangkit semula di Johor, saya amat yakin," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid, meminta jentera BN menggunakan kaedah baharu menggunakan media sosial bagi berkempen sekali gus menarik perhatian lebih 700,000 pengundi baharu dari golongan muda.

"Pengundi kali pertama ini adalah ramai jumlahnya, kita jangan guna kempen secara konvensional semata-mata namun perlu melalui media sosial.

"Jentera harus guna media sosial sebagai medium utama kempen kita.

"Kempen tanpa lisan ini akan disusun BN Comm bersama Penerangan UMNO selain parti komponen dan kita harap jentera

semua bersedia bagi kita memalu gendang PRN Johor," katanya.

-BHonline