Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Ramai tunggu giliran slot nikah Siam


PETALING JAYA – Pengumuman kerajaan Thailand yang akan membuka pintu sempadan dengan Malaysia bermula bulan depan bukan sahaja menggembirakan ejen-ejen nikah Siam, malah pasangan kekasih yang kemaruk ingin bernikah secara ‘senyap’ di negara jiran itu. 

Ejen-ejen nikah Siam di negara ini kini mula sibuk menerima panggilan daripada ramai pasa­ngan kekasih terutama mereka yang ingin berpoligami tanpa pengetahuan isteri pertama.

Ramai pasangan dikatakan telah menempah slot pernikahan dan sudah tidak sabar-sabar untuk menunggu giliran bernikah di Thailand sebaik pintu sempadan negara dibuka sedikit masa lagi.

Menurut penjelasan seorang 'pemudah cara' perkahwinan sempadan yang mahu dikenali sebagai Rudi dan sepanjang PKP lalu, dia terpaksa menangguhkan semua urusan berkenaan sekali gus menjejaskan punca pendapatannya.

"Pada waktu biasa iaitu sebelum PKP, saya boleh mendapat wang sampingan dianggarkan sekitar RM12,000 setiap bulan dan kebiasaannya, tidak kurang daripada empat pasangan saya uruskan perkahwinan mereka.

"Kos pengurusan pula saya tak ambil terlalu tinggi seperti sesetengah orang kerana saya faham kebanyakan pasangan ini terdesak dan saya lebih kepada pemudah cara untuk mereka," katanya ketika dihubungi.

Rudi berkata, setiap nikah sempadan ini akan dilakukan di Pejabat Agama Wilayah Songkhla (Thailand) dan itu adalah satu-satunya tempat untuk melaksanakan urusan pernikahan dan pasangan juga perlu mengemukakan laporan pernikahan di Pejabat Konsulat Malaysia sebaik selesai pernikahan.

"Prosedur pernikahan di pejabat agama negara jiran tidak mudah seperti yang disangka, setiap pasangan perlu mengemukakan pasport, sijil perceraian jika sudah bercerai dan kad pengenalan.

"Ada kes yang wanita menipu status sebagai anak dara sedangkan ibu tunggal jadi akan menghadapi masalah untuk melakukan pendaftaran perkahwinan di pejabat konsulat dan mahu mendaftar di mana-mana Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) kerana mereka turut menggunakan sistem yang sama untuk semakan," katanya.

Rudi menjelaskan kos pengurusan yang diambil untuk tujuan itu adalah sekitar RM3,000 hingga RM4,000 dan ini termasuk penginapan dua hari satu malam, pengangkutan dan makan sepanjang berada di Thailand.

-kosmo