JOHOR BAHRU: Jentera Wanita Perikatan Nasional (PN) diajak mengambil roh semangat perang badar untuk memastikan kemenangan berpihak kepada gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.
Ketua Wanita PN, Datuk Seri Rina Harun berkata, semangat juang itu menjadi ukuran sebenar kekuatan jentera jika hendak dibandingkan dengan kekuatan Barisan Nasional (BN) yang mempunyai keanggotaan ramai.
Katanya, tempoh 30 hari ini cukup getir buat jentera Wanita PN yang menggabungkan tiga parti komponen iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gerakan untuk menghadiahkan kemenangan buat PN.
“Ada yang memperlekeh usaha jentera Wanita PN kerana bilangan kita tidak seramai mereka. Jangan risau, biarlah mereka mencebik dan mengata kita kerana kita mempunyai iltizam yang kuat. Jadikan peristiwa perang badar pada zaman Nabi Muhammad SAW sebagai pedoman, bagaimana seramai 313 tentera Islam menewaskan tentera musuh yang jauh lebih ramai.
“Jentera Wanita PN sudah bersiap sedia menerima segala arahan daripada pucuk pimpinan parti untuk dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan amanah untuk memastikan kemenangan PRN Johor,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Wanita PN Negeri Johor di sini, malam tadi.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin merangkap Pengarah Jentera PRN Johor PN. Yang turut hadir ialah Timbalannya, Datuk Seri Taqiyuddin Hassan merangkap Timbalan Pengarah Jentera PRN Johor PN dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PN, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee.
Rina berkata, ketiga-tiga parti komponen itu perlu bersatu hati dan bergerak seiring sebagai satu pasukan dibawah panji PN menggerakkan perancangan dan arahan yang direncanakan pucuk pimpinan parti.
Katanya, Wanita PN perlu buang imej lemah sebaliknya bersedia menunjukkan semangat juang tinggi selain bekerja bersungguh-sungguh tanpa mengira masa dan waktu.
“Wanita PN kena bagitahu suami, anak dan keluarga bahawa tempoh sebulan ini mahu fokus kepada membantu kemenangan buat parti. Ikatan yang ada ini (Bersatu, Pas, Gerakan) kita ikat kemas-kemas jangan biarkan ada pihak cuba meleraikannya dalam memacu hala tuju memenangi PRN Johor,” ujarnya.
– UTUSAN