JOHOR BAHRU: Keputusan berkaitan rundingan agihan kerusi antara PKR dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) seperti yang dilaporkan sebelum ini belum berjaya dimuktamadkan.
Malah Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, perbincangan mereka bersama PKR mengenai perkara itu juga akan diteruskan secara tertutup sebelum apa-apa kenyataan dikeluarkan.
“Perbincangan kerusi antara PKR dan Muda dibuat secara tertutup dan sulit serta masih belum dimuktamadkan. Jika perbincangan itu tidak mencapai kata sepakat dan menemukan jalan buntu, kita akan maklumkan kepada media tentangnya.
“Kita sudah ada beberapa kerusi untuk ditandingi daripada rakan pembangkang dan mencuba sebaik mungkin untuk kurangkan pertindihan (kerusi),” katanya ketika ditemui selepas pelancaran Jentera Pakatan Harapan (PH) dan Muda di sini, hari ini.
Hadir sama, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Sementara itu, Syed Saddiq berkata, Muda akan mengumumkan jumlah sebenar kerusi yang akan ditandingi parti itu selepas semua perbincangan berkaitan dimuktamadkan.
“Calon pertama Muda membabitkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa akan diumumkan malam ini, namun buat masa ini kita akan berunding dahulu (bagi kerusi lain) sebelum memberi kenyataan lanjut,” katanya.
Sebelum ini desas-desus timbul mendakwa rundingan kerusi antara PKR dan Muda tidak berjalan lancar apabila Muda didakwa mahukan kerusi Larkin dan Bukit Gambir namun ditawarkan kerusi Tanjung Surat, Sri Medan dan Semarang di luar bandar yang menjadi kubu kuat UMNO.
Malah, Anwar hari ini turut mengumumkan lima kerusi diwakili calon PKR bagi zon selatan termasuk DUN Larkin yang akan ditandingi Dr. Zamil Najwah Arbain.
Dalam pada itu, Syed Saddiq ketika berucap pada majlis pelancaran berkenaan berkata, PRN Johor patut dijadikan titik penentu kepada permulaan kebangkitan semula rakyat untuk melawan keangkuhan parti lawan.
“Ia bukan pilihan raya yang mudah tetapi jika pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Johor yang sebelum ini kubu kuat UMNO berjaya ditumbangkan atas semangat kerjasama pembangkang, jadi tiada sebarang alasan ia tidak boleh diulangi semula.
Kita perlu gembleng tenaga bersama. Ia bukan mudah tapi saya yakin dengan strategi yang baik, kita mampu lakukan apa yang mustahil seperti PRU-14 lalu,” katanya.
– UTUSAN