Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Selamba hisap rokok dan sisha, 44 individu dikompaun RM15,000


Kuala Lumpur: Meskipun larangan merokok di kedai makan dan restoran sudah berkuatkuasa sejak tiga tahun lalu, masih ramai yang mengabaikan larangan terbabit.

Lebih mengecewakan ada antaranya seolah dengan sengaja mengabaikan larangan itu walaupun notis sudah dilekatkan pemilik premis pada meja makan.

Tindakan mereka bagaimanapun membawa padah apabila seramai 44 perokok dikenakan kompaun oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam Operasi Penguatkuasaan Larangan Merokok dan Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19, malam tadi.

Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit, KKM Datuk Dr Norhayati Rusli berkata, operasi bermula jam 8 malam itu tertumpu di kawasan premis perniagaan sekitar Jalan Bukit Bintang, Jalan Alor dan Bangsar.

Menurutnya, seramai 60 anggota Unit Inspektorat dan Perundangan Negeri, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur/Putrajaya, KKM serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terbabit dalam operasi berkenaan.

"Sebanyak 262 premis makanan diperiksa dan daripada jumlah itu, lapan premis didapati tidak meletakkan tanda larangan merokok serta menyediakan kemudahan merokok atau shisha manakala 44 pelanggan didapati merokok di tempat larangan.

"Berikutan itu, kesemua mereka dikenakan tindakan kompaun RM250 setiap seorang dengan nilai keseluruhan kompaun berjumlah RM15,000.

"Tindakan diambil mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 kerana merokok di tempat larangan dan Peraturan 12 PPKHT 2004 atas kesalahan tidak mempamerkan tanda larangan," katanya dalam sidang media selepas operasi di sini, hari ini.

Selain itu dalam operasi sama, Dr Norhayati berkata, seramai 72 orang awam diberikan pendidikan kesihatan.

Beliau berkata, KKM serius menangani masalah merokok dan akta baharu yang sedang digubal akan dibentangkan tidak lama lagi.

Akta baharu itu, katanya, melarang generasi lahir pada 1 Januari 2005 dan seterusnya, memiliki serta membeli sebarang produk merokok.

Kata beliau, penguatkuasaan kepada pematuhan larangan merokok di tempat makan akan dijalankan secara berterusan.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya mematuhi peraturan ditetapkan dan sebarang aduan berkaitan merokok di tempat awam boleh disalurkan melalui aplikasi WhatsApp di talian 010-8608949.

-Hmetro