Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac ini sebagai tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johora, kata pengerusinya, Abdul Ghani Salleh, hari ini.
Hari penamaan calon adalah pada 26 Februari, manakala pengundian awal pada 8 Mac, katanya pada sidang media, selepas mempengerusikan mesyuarat khas SPR berhubung pilihan raya negeri itu di Johor Bahru, hari ini.
Pada 22 Januari lalu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Negeri Johor (DUN) bagi memberi laluan kepada PRN untuk diadakan.
Menteri Besar Johor Hasni Mohammad berkata PRN itu perlu dilakukan agar pentadbiran mempunyai mandat lebih besar, berbanding kelebihan satu kerusi sebelum ini.
Bagaimanapun langkah dilihat sesetengah pihak sebagai mengambil peluang terhadap kelemahan pembangkang serta menyingkirkan Perikatan Nasional (PN) yang ditunjangi oleh Bersatu dan PAS daripada pentadbiran negeri.
PRN Johor juga merupakan pilihan raya pertama melibatkan pengundi berusia 18 tahun ke atas, juga pelaksanaan pendaftaran pengundi secara automatik.
-Mkini