Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

SPRM siasat 'Laporan Kes Ambank' berkaitan deposit RM2.6 Billion



PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menjalankan siasatan selepas satu laporan dibuat mengenai kertas siasatan “bocor” yang dikaitkan dengan skandal 1MDB, kata sumber.

Kertas siasatan itu, yang dikenali sebagai “Laporan Kes Ambank”, pertama kali diterbitkan oleh penulis blog Raja Petra Kamarudin yang berpangkalan di UK dan menyebut nama bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Zeti Akhtar Aziz serta bekas menteri persekutuan Nor Mohamed Yakcop.

“SPRM telah membuka siasatan berhubung perkara ini. Siasatan sedang berjalan,” kata sumber yang tidak mahu namanya disiarkan.

Laporan itu dikatakan menunjukkan bahawa Zeti tahu dan memberi persetujuan bagi RM2.6 bilion dibawa masuk ke negara ini melalui akaun bank peribadi bekas Perdana Menteri Najib Razak.

Deposit sebanyak RM2.6 bilion itu – yang didakwa oleh Najib merupakan sumbangan daripada kerabat diraja Arab Saudi – menjadi isu kontroversi dan tindakan undang-undang susulan membabitkan Ahli Parlimen Pekan itu.

Sementara itu, 1Nor Mohamed, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, didakwa menerima RM85 juta, berkaitan tawaran sukuk 1MDB 2009 dalam akaun proksi di Singapura.

Minggu lalu dilaporkan bahawa Zeti dan Mohamed disiasat oleh SPRM atas salah laku.

Menurut Utusan Malaysia, siasatan adalah berkait dengan Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Polis turut menyiasat suami Zeti, Tawfiq Ayman berhubung dana berkait 1MDB yang didakwa dipindahkan ke akaun bank miliknya di Singapura.

Terdahulu dilaporkan syarikat luar pesisir milik Tawfiq menerima sebanyak RM700 juta dana berkait 1MDB termasuk USD153 juta yang dipindahkan daripada akaun bank Good Star Ltd di RBS Coutts, Switzerland.

November lepas, SPRM mengeluarkan kenyataan mengesahkan bahawa RM65 juta dalam akaun bank milik Tawfiq telah dipulangkan oleh kerajaan Singapura.