Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memohon maaf berhubung kenyataannya sebelum ini yang dilihat menyasarkan dakwaan kegagalan Adun Tiram, Gopalakrishnan Subramaniam.
"Muda tidak sempurna. Termasuk saya.
"Saya akui posting lawatan saya ke Ulu Tiram telah merendahkan tugas dan tanggungjawab yang dibuat oleh rakan Adun PKR.
"Atas semangat kebersamaan bersama rakan PKR, saya memohon maaf atas kekhilafan yang dibuat.
"Di Parlimen Muar, saya juga tidak sempurna. Banyak lagi tugas dan tanggungjawab yang perlu saya lunaskan. Teruskan menegur kerja dan ucapan saya," katanya
Pada hantaran awalnya yang telah dipadamkan, Syed Saddiq merujuk kepada aduan yang didakwa diterima daripada penduduk Ulu Tiram terhadap wakil rakyat mereka yang dilantik.
Antara lain dia mendakwa walaupun peruntukan diterima, pengundi yang ditemui Muda semasa siri jelajahnya hari ini mengadu mereka tidak diberi perkhidmatan.
Menjawab kenyataan awal presiden Muda itu, Setiausaha Publisiti Wanita DAP Johor Marina Ibrahim berkata bekas menteri itu sepatutnya lebih matang dalam pendekatannya.
"Nak berpolitik boleh saja berpolitik, ceritakan tawaran terbaik yang mampu pihak kita buat jika dipilih sebagai pemimpin, bukan dengan cara datang untuk kempen kemudian terus memburukkan lawan," kata Marina yang juga penyelaras DAP kawasan DUN Layang-Layang.
Dalam pada itu, ahli Pemuda PKR (AMK) Adam Adli Abdul Halim pula berkicau di Twitter dipercayai menyindir Syed Saddiq mengenai rundingan berterusan Muda untuk kerusi daripada PKR dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Muda telah melancarkan siri jelajah 'Muda Mendengar' di Johor tetapi belum mengesahkan bilangan kerusi yang akan ditandinginya dalam PRN Johor, sementara menunggu rundingan dengan gabungan PH selesai.
-FMT