KEMAMAN : Remaja perempuan berusia 15 tahun yang disyaki menikam mati bayi lelakinya Selasa lalu akan dituduh di Mahkamah Majistret di sini, esok.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, suspek yang kini ditempatkan di wad isolasi Hospital Kemaman akan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Kertas siasatan sudah dikemukakan dan pegawai pendakwa raya bersetuju untuk pertuduhan kes.
“Sepanjang tempoh reman selama seminggu ini, suspek ditempatkan di wad isolasi dan dia dilaporkan sihat,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Hanyan berkata, polis masih giat memburu seorang lelaki berusia 20 tahun yang didakwa merogol remaja berkenaan.
Bagaimanapun, beliau yakin suspek akan dapat ditahan dalam tempoh dua hari ini.
“Polis percaya dia masih berada dalam negeri, jadi keluarga dan rakan diingatkan agar tidak bersubahat menyembunyikan suspek kerana perbuatan itu menyalahi undang-undang.
“Kita suspek tampil memberi keterangan sama ada benar atau tidak kejadian rogol itu berlaku,” katanya.
–UTUSAN ONLINE