Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Tindakan UMNO tamatkan MN di Kelantan dijangka beri kesan kepada orang Melayu Johor



KOTA BHARU: Analogi ‘itik patah kaki dan kehausan lupa parut setelah sihat kakinya berenang-renang tanpa tepian’ yang dinukil Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, merupakan suatu realiti dalam kehidupan masyarakat Melayu.

Pemerhati politik dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Zulkeflee Yaacob berkata, Umno/BN dilihat boleh berlembut urus niaga politik asalkan bukan membabitkan PAS.

Sedangkan katanya rakyat amat berharap perpaduan ummah bertaut selepas parti Melayu hilang kuasa pada pilihan raya umum (PRU) lepas.

“Ketika Umno susah dan hilang pengaruh, PAS datang menghulur tangan atas nama agama dan bangsa. Ketika itu juga MCA keluar kenyataan mahu tinggalkan BN.

“Kini Umno mengharap balik gandingan MCA kerana mahukan undi Cina dan mahu menggambarkan Umno sebuah parti yang berwarna warni,” katanya di sini.

Menurutnya sejarah yang berlaku itu tidak pernah dilupakan orang Melayu di Kelantan, Terengganu, Johor dan Kedah.

Kata beliau rakyat Kelantan juga tidak pernah melupakan gelagat pemimpin Umno selepas PAS menguasai semula Kelantan pada PRU 1990.

“Banyak hak negeri dipinggirkan, peruntukan ahli parlimen PAS tidak diberi sehingga mereka terpaksa wang poket sendiri bagi membantu rakyat. Begitu juga projek pembangunan di Kelantan banyak dinafikan.

“Deraan politik itu menyebabkan rakyat menjadi mangsa. Nikmat pembangunan seperti negeri-negeri lain lambat dirasai rakyat Kelantan,” katanya.

Beliau juga berkata, pemimpin Umno yang berkuasa sekarang seperti lupa kuasa mutlak ada pada rakyat yang boleh mengembalikan situasi seperti PRU14.

Katanya kemenangan bergaya Umno di Melaka baru-baru ini tidak semesti berulang di Johor selepas rakyat sedar siapa sebenarnya yang mahu melenyapkan muafakat ummah.

“Tindakan Umno Kelantan menamatkan Muafakat Nasional dengan PAS dijangka memberi kesan kepada orang Melayu di Johor kerana sekarang baru mereka tahu parti mana yang menolak perpaduan Melayu-Islam,” ujarnya. 

– HARAKAHDAILY