PETALING JAYA: Pengarah Eksekutif MARA Corporation (MARA Corp), Suhaili Abdul Rahman menepis dakwaan beliau menyalahgunakan kad kredit korporat syarikat itu.
Menjawab dakwaan salah guna kuasa itu, Suhaili berkata: “Budak MARA ini mengada-ngada. Saya tidak menggunakan kad kredit untuk kelab malam atau karaoke. Perbelanjaan digunakan untuk semua perniagaan.”
Suhaili berkata, beliau tahu mengenai dakwaan menggunakan kad itu untuk membeli beg Louis Vuitton bernilai ratusan ribu ringgit, tetapi meminta pihak terbabit menunjukkan bukti.
“Tunjukkan bukti, bil. Tidak ada. Had perbelanjaan kad kredit hanya RM50,000,” katanya.
Penafian itu menyusul laporan dibuat terhadapnya oleh pegawai MARA yang sedang disiasat atas dakwaan penyalahgunaan kuasa.
Suhaili ialah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu serta Pengerusi Bersatu Bahagian Labuan.
Beliau memberitahu FMT, semua transaksi kad kreditnya atas tujuan perniagaan, bukan kepentingan diri.
Sebagai Pengarah Eksekutif MARA Corp yang bertanggungjawab ke atas 12 anak syarikat, katanya, beliau juga bertanggungjawab menemui pelanggan perniagaan.
“Kami terlibat dalam perniagaan. Tidak ada peraturan, contoh yang saya katakan, hanya boleh melayan tiga orang untuk makan. Jika kumpulan pelanggan terdiri daripada lima orang, saya perlu membayar untuk mereka semua.
“Mengapa perlu membangkitkan penggunaan kad kredit sedangkan ia adalah keistimewaan yang diberikan kepada saya?” soalnya.
Suhaili berkata, beliau telah mendapatkan nasihat daripada Ketua Pegawai Kewangan sebelum berbelanja.
“Jadi, apa isu di sini? Jika benar saya melebihi had perbelanjaan saya, tolak sahaja daripada gaji saya. Saya di sini (MARA Corp) sebagai pegawai sepenuh masa.”
Baru-baru ini, akaun Twitter Edisi Khas membocorkan surat didakwa ditulis Suhaili kepada Pengerusi MARA, Azizah Mohd Dun yang mendakwa lima pegawai kanan menyalahgunakan kuasa mereka.
Kelima-lima mereka menafikan dakwaan itu dan membuat laporan polis secara berasingan berhubung perkara itu semalam.
Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menyerbu ibu pejabat MARA di sini dalam siasatannya ke atas lima pegawai kanan itu.