Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Wartawan cilik Bukit Selambau mahu temubual Perdana Menteri



SUNGAI PETANI: Kanak-kanak yang beraksi bagaikan seorang wartawan, Muhammad Haziq Mohd Asyraf, dari Bukit Selambau, di sini, berhasrat menemuramah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jika diberi kesempatan.

Muhammad Haziq, 12, berkata adalah menjadi impiannya untuk menemubual pemimpin nombor satu negara itu secara bersemuka yang sebelum ini hanya ditonton di kaca televisyen.

"Memang nak jumpa jika boleh. Kalau dapat jumpa Perdana Menteri (PM), nanti saya nak temu ramah PM dan juga sediakan donut serta roti yang akan saya buat untuk dihidangkan kepada PM," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Penghulu Tua, Bukit Selambau, dekat sini, hari ini.

Muhammad Haziq meraih perhatian netizen dan menjadi popular selepas videonya melaporkan penemuan seekor ular sawa di sebuah pasar awam di sini, tular baru-baru ini.

Ketika ditemui Muhammad Haziq yang juga minat memasak kelihatan seperti pendiam, namun perwatakannya berubah selepas diberikan mikrofon dan beraksi sebagai wartawan di hadapan kamera untuk membuat laporan berita.

Secara bersahaja dan tanpa kekok, kanak-kanak itu terus mendemonstrasikan kebolehannya membuat laporan mengenai dirinya dengan lancar dan petah diselangi loghat Kedah.

Ibunya, Nur Shakilla Zainol, 33, berkata dia dan suami, Mohd Asyraf Ahmad, 37, amat menyokong minat Muhammad Haziq dan menggalakkannya terus menghasilkan video laporan berita bagi mengasah bakatnya.

Katanya, sejak video pertama Muhammad Haziq mengenai penemuan ular sawa menjadi tular bulan lalu, banyak pihak tampil memberikan sokongan kepada anak sulungnya itu yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Selambau.

"Saya berterima kasih kepada mereka yang beri perhatian kepada anak saya, memberi sumbangan terutama untuk persekolahan dia dan seorang lagi anak perempuan saya," katanya.

Terdahulu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Left Kol (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub turut mengunjungi kediaman kanak-kanak itu dan menyampaikan sumbangan persekolahan kepada Muhammad Haziq serta adik perempuannya Sara Salsabilla, 7.

"Sumbangan ini sebagai bantuan dan sokongan kepada Muhammad Haziq supaya dia dapat menjadi pencetus kepada rakannya dan kanak-kanak lain supaya aktif dan membawa manfaat kepada masyarakat," katanya.

Sebelum ini, Muhammad Haziq yang juga penghidap talasemia, turut mendapat perhatian Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang berkenan menghadiahkannya telefon bimbit.

Kanak-kanak itu juga dihadiahkan sebuah tablet oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, selain sumbangan persekolahan daripada pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan individu. 

– BERNAMA