SHAH ALAM - Lebih dua juta penerima vaksin Sinovac bakal kehilangan status vaksinasi lengkap menjelang 1 April ini dan itu bukan perkara baru tetapi sudah dimaklumkan sejak 16 Disember tahun lalu.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menjelaskan, peringatan juga telah diberikan pada 7 Februari 2022 dan lanjutan masa diberi 24 Februari 2022.
“Perkara ini bukan baru. Pengumuman pertama pada 16 Disember 2021.
“Peringatan diberi pada 7 Februari 2022 dan lanjutan masa diberi pada 24 Februari 2022. Singapura pun ada syarat yang sama,” kongsinya menerusi ciapan di Twitter pada Jumaat.
Tegas Khairy, dos penggalak itu diperlukan setelah melihat keberkesanan menurun selepas beberapa bulan dan kesan varian Omicron.
Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi ciapan di Twitter memaklumkan, 2.37 juta rakyat Malaysia dianggarkan akan kehilangan status vaksin lengkap menjelang 31 Mac 2022.
“Jangan kehilangan status vaksin lengkap anda, dapatkan dos penggalak sekarang.
“Dikongsikan cara-cara untuk membuat tempahan janji temu vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera,” ujarnya.
-Sinar