WAWANCARA MALAYSIAKINI:| Empat belas tahun lalu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berjaya membawa Pakatan Rakyat mencapai kemenangan besar di Pulau Pinang - di mana dia kemudiannya dilantik sebagai ketua menteri.
Melalui bekas timbalannya Mansor Othman (yang kini timbalan menteri Alam Sekitar dan Air), Lim menerima jolokan 'tokong' yang masih digunakan hingga kini oleh pengkritiknya kerana kelakuannya yang didakwa sombong dalam mentadbir Pulau Pinang.
Malah Guan Eng mengakui dia amat menyedari gelaran yang ditujukan kepadanya itu.
“Ada yang kata itu untuk menunjukkan bahawa (mereka) secara peribadi menentang saya, yang lain kata ia tunjukkan gerak kerja saya.
“Saya fikir di Pulau Pinang, kerana kita mempunyai masa yang cukup, anda boleh lihat sendiri hasilnya - apa yang saya lakukan sejak 10 tahun lalu semasa saya menjadi ketua menteri.
"Jika kita (Pakatan Harapan) mempunyai masa sebanyak itu, anda boleh melihat keputusan yang sama di Putrajaya," kata Lim sambil menolak gelaran yang diberikan kepadanya.
“Bagi saya, saya hanya mahu menjalankan tugas saya. Saya mahu melihat hal-hal diselesaikan,” tambahnya.
Ditanya sama ada dia tidak kisah akan gelaran itu, Guan Eng menjelaskan bahawa walaupun dia tidak dapat menerima gelaran tersebut, dia menerima kritikan dengan hati terbuka dan sebagai sebahagian resam dalam politik.
Dikenali memiliki perwatakan yang kuat, Guan Eng berkata dia tidak pernah mengambil tindakan terhadap mereka yang mengkritikya kerana bersedia menerima kritikan berkenaan.
“Sudah tentu, bahaya membuat keputusan yang buruk adalah lebih baik daripada tak membuat keputusan. Jadi, saya rasa anda perlu tegas.
“Apabila anda mengatakan bahawa saya mempunyai karektor yang kuat, mungkin (ia) kerana saya seorang yang tegas. Sebaik sahaja kami merasakan bahawa kami perlu bergerak ke hadapan, kami perlu menyelesaikan sesuatu dan mematuhinya untuk memastikan ia selesai,” katanya.
Pastikan keutuhan parti
Di penggal terakhir sebagai setiausaha agung DAP, Guan Eng berpendapat dia telah membuat yang terbaik sepanjang 18 tahun memimpin parti itu sejak 2004.
“Saya sudah buat yang terbaik. Tiada siapa yang sempurna. Kelemahan saya ialah, saya sangat tidak sabar dan mahu melihat hasil (kerja yang dilakukan) tetapi saya berterima kasih kepada sokongan yang diberikan kepada saya dan kepimpinan secara kolektif selama saya menjadi setiausaha agung,” katanya.
Sepanjang tempoh kepimpinannya, Guan Eng berkata perbalahan dalam parti hampir tidak wujud berbanding parti politik lain.
“Kami sangat senyap dalam erti kata itu, walaupun ada orang yang sangat lantang tetapi tiada tindakan diambil terhadap mereka.
"Kami mampu menyelesaikannya sesama sendiri dan kami bersedia membuka hati dan mendengar kritikan," kata ahli parlimen Bagan itu.
Guan Eng berkata pencapaian terbesar ketika menjadi setiausaha agung DAP adalah mendapat kuasa di peringkat negeri dan persekutuan serta mengekalkan keutuhan parti.
Guan Eng menceritakan pertemuan dengan Zahid Hamidi di Parlimen - di mana presiden Umno itu menyatakan rasa terkejutnya dengan kurangnya berlaku pengkhiatan dalam DAP.
“Zahid kata, “Kamu menang 42 kerusi dan kini kamu masih ada 42 kerusi. Malah Umno tak boleh melakukan ini,” katanya mengaitkan perkara itu dengan semangat setiakawan yang kuat di kalangan wakil rakyat DAP.
-MalaysiaKini