PUTRAJAYA: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak bersetuju jika parlimen dibubarkan dengan segera.
Walaupun begitu, mereka mempertimbangkan untuk bekerjasama dengan beberapa parti lain bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pihaknya bagaimanapun perlu membuat kajian mendalam mengenai perkara itu terlebih dahulu.
Beliau berkata, perkara berkenaan turut dicadangkan oleh akar umbi parti.
“Kita dulu tiada kerjasama dengan parti lain kerana kesan buruk daripada kerjasama itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Eksekutif Pusat Pejuang, di sini hari ini.
Ditanya mengenai desakan beberapa pihak supaya PRU15 disegerakan, Dr. Mahathir berkata, rakyat perlu diberi lebih masa untuk mempertimbang parti apa yang layak untuk memerintah negara.
“Jika PRU15 diadakan dalam masa terdekat, saya berpendapat cuma ada orang tertentu sahaja yang gembira sedangkan seluruh rakyat berada dalam keadaan tidak bersedia.
“Malah, jika ia (PRU15) diadakan sekarang, maka kita akan mendapat keputusan yang tidak baik untuk negara,” katanya.
Justeru, kata bekas Perdana Menteri itu, rakyat perlu diberi masa supaya mereka mempunyai masa untuk membuat pertimbangan sebaiknya apa yang dilakukan oleh parti-parti tertentu.
Pada masa sama, katanya, beliau melihat rakyat juga sudah jelek dengan permainan politik negara dan ia sudah diterjemahkan menerusi peratusan keluar mengundi yang rendah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini.
“Jumlah keluar mengundi hanya 53 peratus dan ia jelas sekali menunjukkan rakyat sudah bosan dengan politik negara.
“Mereka ambil tindakan untuk tidak keluar mengundi dan ia secara tidak langsung memberi peluang kepada parti yang tidak sesuai menjadi kerajaan,” katanya.
– UTUSAN