KAJANG: Seorang ahli perniagaan dihukum penjara empat tahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas mengaku memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian seorang anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) dua tahun lalu.
Hakim Sayani Mohd Nor menjatuhkan hukuman itu selepas K Kalaichelvan, 45, menukar pengakuannya kepada bersalah atas empat pertuduhan, termasuk memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian Koperal Safwan Mohamad Ismail, 31, di Lebuhraya Kajang-Seremban pada 2.10 pagi 3 Mei 2020.
Kalaichelvan turut berdepan pertuduhan tidak mematuhi isyarat diberikan polis yang menghendakinya berhenti sebelum sampai di sekatan itu dan bagi kesalahan ini, dia dihukum penjara enam bulan.
Tertuduh, yang memiliki dua anak, turut dijatuhi hukuman penjara sebulan kerana memandu tanpa lesen.
Bagi pertuduhan ingkar PKP mengikut Seksyen 3(1) Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, Kalaichelvan dijatuhi hukuman penjara sebulan.
Bagaimanapun, Sayani memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara secara serentak.
Beliau turut menggantung kelayakan Kalaichelvan untuk memegang atau memohon lesen memandu selama lima tahun.
Terdahulu, peguam K Veeranesh Babu berkata, anak guamnya telah insaf dan memohon hukuman berjalan serentak.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Al-Saifi Hashim, yang juga Pengarah Pendakwaan Selangor, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat ke atas Kalaichelvan.
Beliau berkata, Safwan adalah petugas barisan hadapan yang sedang menjalankan tugas semasa pandemik Covid-19 dan insiden itu berlaku ketika tempoh pelaksanaan PKP.
Kalaichelvan turut diwakili peguam Freda Josephine Gonzales. Turut hadir bagi pendakwaan ialah Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fauzan Mohd Nor dan Siti Nur Liyana Mohd Sulaiman.
-FMT