JAKARTA – Aksi tiga wanita yang ‘sakan’ bergelek dalam satu majlis anjuran sebuah madrasah di Jogjakarta tular di media sosial Indonesia, lapor laman berita Suara, hari ini.
Menerusi rakaman video di Instagram @memomedsos, aksi tiga wanita bertudung dan berkaca mata sedang menari dan bergelek di atas sebuah pentas.
Aksi tarian itu dipercayai turut dirakam oleh pengunjung majlis tanpa rasa serba salah.
Sekali pandang, tidak ada yang pelik dengan tarian tiga wanita muda itu namun jika diperhatikan betul-betul, kain rentang di latar belakang pentas menimbulkan keraguan.
video:
Kain rentang yang dilekatkan pada latar belakang pentas itu tertulis Haflah Akhir Sanah yang bermaksud sambutan akhir tahun persekolahan di sebuah madrasah.
Perbuatan yang dianggap tidak sopan ini mendapat kecaman netizen yang mempersoalkan adakah ini produk sekolah madrasah generasi kini.
“Inilah contoh masyarakat akhir zaman, produk ‘TikTok’ sekolah madrasah,” tulis seorang pengguna media sosial.
“Kasihan ibu bapa tiga remaja ini dengan perbuatan anak-anak mereka,” komen seorang lagi.
– Agensi