Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata tidak boleh untuk rakyat negara ini terus dibebani dengan mekanisme pengawasan secara langung seperti yang dilakukan aplikasi MySejahtera.
Pada asasnya kata Mohamad aplikasi itu dibangunkan untuk mengekang dan mengawasi penularan wabak Covid-19 dan ternyata ia sangat membantu.
"Namun laporan pelantikan entiti persendirian, MySJ Sdn Bhd (MySJ), sebagai syarikat yang akan menguruskan applikasi MySejahtera untuk fasa seterusnya adalah sesuatu yang membimbangkan," katanya.
Menurut Mohamad Malaysia akan memasuki fasa endemic mulai 1 April ini dan kerajaan wajar memutuskan rasional penerusan amalan pendaftaran melalui MySejahtera serta kemestian pengaktifan MySJTrace.
"Rakyat Malaysia tidak boleh selamanya dibebani dengan mekanisme surveillance yang secara langsung menceroboh privasi dalam pergerakan dan kehidupan seharian mereka.
"Tentukanlah tempoh masa sebelum semua ini boleh kita hentikan demi normalisasi kehidupan rakyat Malaysia seperti sebelum pandemik (berlaku), katanya lagi.
Komen Mohamad itu dibuat ketika perbincangan di antara Putrajaya dan MySJ mengenai kemungkinan kedua-duanya memeterai perjanjian bagi memastikan aplikasi tersebut terus berfungsi.
Libatkan data peribadi
Aplikasi itu asalnya dibangunkan oleh KPISoft Malaysia Sdn Bhd (kini dikenali sebagai Entomo Malaysia) pada 2020 dan digunakan terutamanya sebagai sistem pengesanan kontak kepada pesakit Covid-19.
Ia kemudian berkembang menjadi aplikasi pelbagai kemudahan berkaitan wabak tersebut.
Suatu pertikaian komersial yang dimulakan oleh P2 Asset Management Sdn Bhd mendedahkan bahawa Entomo Malaysia menubuhkan MySJ sebagai wadah yang akan mengkomersialkan aplikasi MySejahtera.
Tambah Mohamad walaupun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah memberikan penjelasan mengenai langkah tersebut, masih ada beberapa kekeliruan yang wajar dijelaskan.
Misalnya kata bekas menteri besar Negeri Sembilan itu, tentang pelantikan MySJ melalui mekanisme rundingan terus, bukannya secara tender terbuka.
Katanya rakyat berhak mengetahui rasional dan motif serta kemampuan entiti yang terlibat.
"Apatah lagi kerana keputusan sebegini melibatkan pengurusan data peribadi dan maklumat kesihatan, pergerakan dan trend kehidupan puluhan juta rakyat Malaysia," katanya.
-Mkini