KUALA LUMPUR: Abdullah Ahmad Badawi merupakan satu-satunya bekas Perdana Menteri yang dikurniakan sebidang tanah bernilai RM76.4 juta atas jasanya kepada kerajaan, kata Jabatan Perdana Menteri.
Dalam jawapan bertulis kepada Pang Hok Liong (PH-Labis), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Abdul Latiff Ahmad berkata Jemaah Menteri pada 16 Jun 2009 telah meluluskan pemberian tanah di Persiaran Tuanku Ja’afar kepada Abdullah.
Abdullah, atau lebih dikenali sebagai Pak Lah, memegang jawatan Perdana Menteri bermula 2003 hingga 2009.
Latiff berkata tanah itu berkeluasan 155,290.94 kaki persegi.
Berdasarkan penilaian oleh Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta (JPPH), tanah itu berharga RM76.4 juta dan manakala hartanah yang dibina di atasnya dinilai RM7.24 juta.
Sebelum ini, Dewan Rakyat diberitahu bahawa Putrajaya menerima permohonan daripada pengganti Abdullah, Najib Razak untuk mendapatkan sebidang tanah dan rumah yang didakwa bernilai RM100 juta.
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mengesahkan permohonan itu pada 18 Nov tahun lalu susulan khabar angin yang tular di media sosial hingga menyebabkan kekecohan dalam Dewan.
Ahli Parlimen pembangkang, termasuk Dr Mahathir Mohamad mengkritik Najib.
“Wang yang dicuri diberikan semula,” kata Mahathir sambil menambah, permohonan itu perlu dijelaskan.
Najib kemudiannya menarik balik permohonannya untuk mendapatkan tanah dan rumah itu dan berkata beliau tidak mahu ia dijadikan isu dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka. Akhirnya BN menang bergaya.
-Fmt