KUALA LUMPUR, 29 Mac – Susulan sebuah video yang tular di media sosial hari
ini, yang memaparkan sedutan seorang lelaki berpakaian seragam Prasarana
memukul orang awam di sebuah kedai serbaneka pada tarikh, masa dan lokasi yang
belum dapat dikenalpasti, Prasarana menegaskan bahawa ia telah melancarkan
siasatan serta-merta ke atas insiden berkenaan.
“Kami memandang serius dakwaan bahawa si pemukul adalah kakitangan Prasarana
berdasarkan pakaian seragam yang dipakai di dalam video berkenaan.
Dipercayai kejadian berlaku apabila mangsa ditangkap dan dituduh mengambil
makanan tanpa membayar di kedai serbaneka tersebut.
Walau bagaimanapun, tingkah laku si pemukul adalah bertentangan dengan kod
etika kerja Prasarana. Dalam apa jua situasi, sekiranya memerlukan bantuan
lanjut, ia sepatutnya dipanjangkan kepada pihak berkuasa,” menurut satu
kenyataan media yang dikeluarkan Prasarana di sini hari ini.
Siasatan dalaman sudah dilancarkan dan Prasarana menyeru orang awam yang
menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat lanjut berkenaan kejadian
tersebut supaya menghubungi talian 03-7885 2585, atau emel ke
suggest@rapidkl.com.my.
Prasarana juga memohon maaf atas kejadian ini dan menjamin tindakan susulan
yang bersesuaian akan diambil bagi memastikan perkara sebegini tidak akan
berulang di masa hadapan.
-TunCarlos.com