Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

PRN Johor: BN mahu pengiraan semula undi DUN Bukit Batu


SUNGAI SIPUT: Barisan Nasional (BN) akan mengemukakan petisyen pilihan raya bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu ke Mahkamah Tinggi ekoran calonnya daripada MIC tewas dengan majoriti kecil.

Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, petisyen bagi tujuan kiraan semula itu juga dibuat berikutan jumlah undi rosak bagi DUN berkenaan terlalu tinggi iaitu lebih 600 kertas undi.

Katanya, jumlah kertas undi rosak itu mengatasi undi majoriti yang diperolehi calon PKR, Arthur Chiong Sen Sern sebanyak 137 undi.

“Saya diberitahu, lebih 600 undi rosak dan kita telah pun membuat bantahan tetapi difahamkan bantahan itu perlu dibuat mengikut saluran-saluran tertentu. 

“Jadi, kita akan membuat rayuan kepada mahkamah supaya kita boleh memastikan pengiraan undi itu dibuat secara betul,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian bantuan Tabung Pendidikan India Negeri Perak di pejabat BN Sungai Siput di sini hari ini.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berakhir semalam, Sen Sern memenangi kerusi berkenaan dengan 9,439 undi menewaskan calon MIC, S. Suppayah yang memperoleh 9,302 undi.

Sementara itu, mengulas kemenangan BN yang berjaya membentuk kerajaan baharu selepas menang dua pertiga pada PRN Johor, Vigneswaran berkata, kemenangan tersebut merupakan bukti pengiktirafan rakyat negeri itu kepada calon BN.

Malah, katanya, undi kaum India kepada BN juga dilihat semakin meningkat dan bukan hanya sekadar retorik.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada kaum Cina yang memberi sokongan dan mengundi calon bangsa lain. Ini menunjukkan pengundi bukan mengundi berdasarkan calon tetapi parti yang diwakili calon, ini adalah petanda baik,” katanya.


Dalam perkembangan berlainan, beliau berkata, MIC menyerahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menentukan masa yang sesuai mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Jelasnya, kepimpinan tertinggi BN akan membincangkan pembahagian kerusi DUN dan Parlimen bagi menghadapi PRU-15 yang dijangka bakal diadakan tahun hadapan.

Seperti mana yang saya katakan sejak awal kepimpinan dalam MIC, meminta kerusi setakat untuk bertanding adalah tidak berguna. Jika mahu minta kerusi pun, mestilah ada peluang tinggi untuk menang,” katanya. 

–UTUSAN ONLINE