Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

'PRU15 harus diadakan sekarang, bukan tahun hadapan' -Tok Mat


PAU 2021 | Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, berkata pilihan raya umum ke-15 (PRU15) harus diadakan “sekarang” dan bukan tahun hadapan, untuk memanfaatkan kepincangan parti lawan dan mengelak tindak balas mereka “mengkambing hitamkan” Umno-Barisan Nasional atas kesengsaraan rakyat.

“(Kita kena) menyerang sewaktu mereka benar-benar lemah,” kata beliau, merujuk kepada kekalahan teruk parti lawan seperti PKR, DAP dan Perikatan Nasional (PN) pada PRN Johor, Sarawak, dan Melaka.

“Jangan tunggu mereka dan bergabung balik bersama-sama dia (Dr Mahathir Mohamad), dia sudah cium mulut bersama PRU-14 Tun M dengan Anwar…cium mulut baru nak buat (PRU), masa itu kita buat..mati, menempah maut, sekarang ini masa sesuai untuk buat (PRU).

“Itu falsafah peperangan. Melengahkan PRU akan membuka potensi kebangkitan pembangkang. Jangan kita ulangi langkah sumbang PRU14,” kata beliau ketika merasmikan perhimpunan agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno malam tadi.

Kalangan pemimpin Umno percaya Najib Razak, sewaktu menjadi perdana menteri, silap membuat percaturan apabila mengadakan PRU pada Mei 2018, iaitu kurang sebulan sebelum penggal kerajaan tamat dan tidak lebih awal.

Mohamad berkata, persefahaman politik pembangkang amat bercelaru serta tidak sehaluan, dan hakikat ini mesti diambil tindakan oleh BN menerusi PRU yang diawalkan.

“Semua (parti lawan) berlumba dengan cita-cita sendiri. Bagai enau dalam belukar, melepas pucuk masing-masing. Semua ghairah bertanding tanpa mengukur keupayaan sebenar. Ada yang tidak punya ‘struktur’. Hanya berpaut pada seorang dua personaliti, itu pun tanpa pengalaman.

“Tanpa kesatuan, mereka tidak boleh mengalahkan BN. Ketidaksepaduan pembangkang adalah ‘strategik kepada Umno’. Inilah masanya kita pantas memintas saat mereka berpecah dan bertelagah,” katanya.

Mohamad memberi amaran jika PRU dilengahkan, Umno-BN dalam kerajaan campuran sekarang menanggung risiko dipersalahkan parti lawan atas pelbagai masalah rakyat akibat faktor luar dan dalaman negara.

“(Contohnya) harga barang…semakin naik mendadak, tidak terkawal, dan tidak masuk akal. Kemarahan rakyat membuak-buak. Semakin lama dibiarkan, semakin ramai yang akan mengkambinghitamkan Umno dan BN. Semua ini akan menjadi peluru politik PH untuk menembak kerajaan dan Umno akan menerima tempiasnya.

“Kerana itu, adalah sangat berisiko untuk melengahkan PRU dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu akibat pelbagai faktor dalaman dan antarabangsa,” katanya.

Mohamad juga berkata, PRU harus diawalkan akan membolehkan BN mengembalikan semula mandat rakyat untuk memilih kerajaan yang sah.

Beliau berkata, Umno bukan sekadar pemain politik biasa, tetapi “membidani, menyubur, dan melestarikan demokrasi di tanah air ini.”

“Jangan terus berdolak-dalih. Malaysia tidak pernah ditadbir oleh kerajaan yang tidak terbentuk melalui pilihan raya yang demokratik. Sampai bila kita mahu terus bergantung dengan…MoU untuk mengurus kestabilan negara ini?” tanya beliau, merujuk kepada memorandum kerjasama yang diikat kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob dengan Pakatan Harapan tahun lalu.

“Sejak bila kelangsungan serta keabsahan kita sebagai pemerintah, bergantung pada ihsan dan simpati parti lain? Sampai bila? Mengambil kira semua ini, Umno harus mengambil pendirian tentang kewajaran menyegerakan PRU15,” kata beliau.


Tambahan pula, kata Mohamad, di kala Umno kini hanya mempunyai seorang perdana menteri dan bukanlah memegang tampuk pemerintahan sebagai kerajaan Umno, ia harus mengakui bahawa kekuatan politiknya sudah tidak lagi sebegitu kuat.

Pada satu ketika Mohamad juga melihat kepada Ismail Sabri sambil berpesan: manfaatkan segala peluang dan ruang atas kelemahan musuh kita ini. Menyerang sewaktu mereka benar-benar lemah.”

Umno kini, katanya, hanya menguasai 17 kerusi di Dewan Rakyat, jauh meleset berbanding kedudukan dan pengaruh Umno dan angka itu merupakan peratusan terendah dalam sejarah demokrasi Malaysia.

“Sekali lagi jangan kita nafikan, kita juga terpaksa mengurus negara melalui persefahaman dengan pembangkang. Ini merupakan sesuatu yang tidak pernah terlintas dalam sanubari kita!

“Sehingga menimbulkan kekeliruan. Umno ini sedang memerintah, atau diperintah? Rakyat beranggapan Umno ini berkuasa atas ihsan dan belas orang. Bukan kekuatan dan keupayaan sendiri.

“Memang berdesing telinga mendengarnya. Malangnya, semua itu ada benarnya. Sehingga kita sendiri tersepit. Hendak didiamkan, dikatanya kita bendul. Hendak dimarahkan, sudah memang perkara betul,” katanya lagi

-utusan