Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

PRU15: Rakyat belum bersedia lagi, pakailah otak sikit -Nazri


PAU 2021 | Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz, mempersoalkan siapa sebenarnya yang hendak didahulukan sebahagian pihak dalam Umno semasa mereka menggesa agar pilihan raya umum (PRU) ke-15 disegerakan.

Katanya selama ini BN sentiasa membawa naratif sebagai parti yang mahu membela serta mendahulukan rakyat.

Namun, katanya, jika Umno-BN hanya mengejar kemenangan setelah melihat pencapaian besar di Melaka dan Johor ketika rakyat belum bersedia berdepan dengan PRU ke-15, maka langkah itu akan dilihat sebagai oportunis yang tidak memikirkan kepentingan rakyat.

“Kalau kita sekarang ni nampak sebagai parti, ada peluang nak menang besar, siapa yang nak kita dahulukan? Kepentingan parti ke atau kepentingan rakyat?

"Rakyat masih belum sedia lagi... pandemik. Pakailah otak sikit.

“Jangan hanya cogan kata sekadar cogan kata sahaja. Tapi apabila (bab) tindakan, sebenarnya kita oportunis. Kononnya kita menang di Melaka, di Johor, maka kita rasa ini peluang untuk kita menang, maknanya kita oportunistik.

“Makna parti ini hanya memikirkan parti saja, tidak memikirkan rakyat. Tanyalah rakyat dulu. Rakyat susah yob,” katanya ketika ditemui pemberita dalam Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Tak pernah berlaku

Desakan untuk membubarkan parlimen bagi memberi ruang PRU disegerakan disuarakan sekumpulan pemimpin Umno dan semakin kuat sejak akhir-akhir ini, khususnya selepas parti itu menang besar di Johor.

Antaranya oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan timbalan presiden Mohamad Hasan, serta sayap Pemuda dan Puteri.

Kata Nazri, gesaan itu tidak kena pada tempatnya memandangkan perdana menteri datang dari Umno sendiri, lebih-lebih lagi banyak dasar yang diatur kerajaan memerlukan masa untuk dilaksanakan.

BN juga, kata bekas menteri itu, perlu berbincang dengan rakan-rakan mereka dalam kerajaan Keluarga Malaysia, manakala keputusan akhir masih bergantung pada perkenan Yang di-Pertuan Agong.


“Kalau (Presiden Bersatu) Muhyiddin Yassin yang menjadi perdana menteri, mungkin kita boleh desak. Ini orang kita (naib presiden Umno Ismail Sabri Yaakob).

“[...] Saya duduk dalam jemaah menteri ini sejak (zaman) Dr Mahathir Mohamad lagi. Tak pernah saya hadir dalam mesyuarat perwakilan, desakan daripada perwakilan untuk nak bubar parlimen. Tak pernah.

“Mungkin ini berlaku kerana pucuk pimpinan kita tak ada pengalaman, tak tahu. Setahu saya, tak pernah," katanya.

Nazri turut mengingatkan BN agar tidak terlalu yakin mampu mencapai kemenangan besar memandangkan dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor lalu, BN hanya meraih undi 46 peratus undi popular.

“Jangan terlalu yakin. Tapi penting pada saya, dahulukan rakyat, bela rakyat. Jangan cakap tak serupa bikin. Dan guna otak,” katanya lagi.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin turut menyarankan agar PRU ke-15 ditangguhkan dahulu sehingga kesihatan awam menjadi stabil, dan dia menganggarkan masa beberapa bulan untuk menilai perkara tersebut.