Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Rayer tawar diri wakili Shamsul dalam kes saman fitnah Najib


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer menawarkan diri untuk membantu Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin yang disaman fitnah oleh bekas Perdana Menteri, Najib Razak.

Menyentuh usaha memerangi rasuah ketika perbahasan Titah Diraja, Shamsul memberitahu Dewan Rakyat bahawa beliau baru menerima surat tuntutan daripada Najib dan beliau akan menjawab Ahli Parlimen Pekan MP (Najib) itu di mahkamah.

Rayer segera berdiri untuk menawarkan bantuan guaman kepada Shamsul (PH-Hang Tuah Jaya).

“Sebagai peguam, saya ingin menawarkan diri untuk mewakili anda secara percuma supaya kita boleh melawan Pekan habis-habisan.”

Najib menyaman Shamsul kerana memfitnahnya dalam catatan Facebook mengenai dana 1MDB.

Najib berkata, pemimpin PKR itu gagal menarik balik, membetulkan atau memohon maaf kerana mendakwa beliau mencuri RM2.6 bilion dana 1MDB untuk menampung gaya hidupnya.

Najib menafikan dakwaan Shamsul dengan berkata, beliau didakwa mengubah wang, bukannya mencuri mahupun merompak dan dana itu telah dipulangkan kepada penghantarnya.


Dalam catatannya, Shamsul turut mendakwa bekas eksekutif Goldman Sachs, Tim Leissner dan ahli perniagaan diburu pihak berkuasa, Low Taek Jho (lebih dikenali sebagai Jho Low) menggunakan dana awam untuk menampung gaya hidup mereka.

Rayer turut menyentuh ucapan Najib mengenai 1MDB di Dewan Rakyat pada 2 Mac lalu. Tony Pua (PH-Damansara) mendakwa Najib mengelirukan Dewan mengenai pembayaran hutang 1MDB serta mahu beliau dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berhubung kenyataan itu.

Rayer, yang dihalau kerana keterlaluan mengganggu Najib berucap, bertanya kepada Shamsul sama ada beliau bersetuju rakyat perlu sedar Najib cuba menipu rakyat ketika berkempen untuk Barisan Nasional dalam pilihan raya negeri Johor.

“Saya setuju Jelutong!” kata Shamsul.

Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun turut menulis kepada Najib untuk mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu.

-FMT