Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Sampel tisu Revnesh akan dihantar keluar negara untuk diuji, kata KJ


PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan menghantar tisu dalaman remaja yang didakwa meninggal dunia kurang tiga minggu selepas divaksin, ke luar negara untuk ujian lanjut, kata Menterinya, Khairy Jamaluddin.

Katanya, beliau sudah menemui keluarga mendiang Revnesh Kumar bagi menjelaskan perkembangan terkini siasatan ke atas punca kematian remaja terbabit.

“Pada masa sama, KKM juga bercadang membuat beberapa ujian tambahan terhadap sampel tisu dalaman, di mana ia mungkin perlu dihantar ke luar negara untuk pengujian selanjutnya. Saya sendiri telah menyatakan komitmen untuk pastikan perkara ini disusuli segera.

“Semua perkara ini telah dimaklumkan kepada ibu bapa mendiang Revnesh dan mereka memahami penerangan yang diberikan serta bersetuju dengan langkah yang akan diambil bagi mengenal pasti punca kematian mendiang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairy berkata, hasil bedah siasat dan semua keputusan ujian yang telah dijalankan setakat ini, termasuk pemeriksaan histologi akan dibentang dan dibincangkan dalam kalangan pakar forensik dalam sesi “peer-review” pada 7 Mac ini untuk pengesahan.

Katanya, laporan bedah siasat dan semua keputusan ujian yang dijalankan seterusnya akan turut diserahkan kepada ibu bapa mendiang selepas selesai sesi “peer-review” tersebut.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago menggesa KKM memberi penjelasan berhubung gesaan ibu bapa mendiang untuk menyegerakan siasatan ke atas kematian Revnesh.


Katanya, tindakan KKM berdiam diri berhubung isu itu boleh menimbulkan perspektif negatif yang menghalang ibu bapa membenarkan anak mereka divaksin.

Santiago berkata, hasil bedah siasat perlu diumumkan memandangkan remaja lelaki itu meninggal dunia 18 hari selepas menerima dos pertama vaksin pada 30 Dis lalu.

Menurut laporan media, Revnesh Kumar disahkan meninggal dunia selepas dikejarkan ke Hospital Kajang akibat muntah dan rebah ketika dalam perjalanan ke kelas karate pada 16 Jan lalu.

Khairy berkata, perkembangan siasatan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa dan beliau menggesa orang ramai menghormati privasi serta perasaan keluarga mendiang.

“Pada masa sama, saya memohon masyarakat tidak menyebarkan maklumat palsu mengenai kes kematian ini,” katanya.

-FMT