PUTRAJAYA – Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mempersoalkan kenapa hakim yang pernah menjatuhkan hukuman dalam kes SRC International Sdn Bhd terlibat secara langsung dengan saksi-saksi penting yang kini sedang memberi keterangan dalam perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Shafee yang merupakan peguam utama pembelaan dalam kedua-dua kes berprofil tinggi itu berkata, beliau tidak terkejut seandainya Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali pernah bertemu dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.
Ini kerana, katanya, sebelum Mohd Nazlan menjadi Hakim Mahkamah Tinggi, beliau pernah menjadi penasihat undang-undang Kumpulan Malayan Banking Berhad (Maybank) yang telah memberi pinjaman untuk membiayai sebahagian kos pengambilalihan Tanjong Energy oleh 1MDB pada 2012.
Bagaimanapun, perkara itu tidak pernah didedahkan Mohd Nazlan pada perbicaraan, ujarnya.
SRC adalah bekas anak syarikat 1MDB.
Tambah beliau, ketika prosiding 1MDB, saksi pendakwaan ke-12 yang juga bekas Ketua Pegawai Kewangan 1MDB, Azmi Tahir mendedahkan perkara itu melalui minit mesyuarat Lembaga Pengarah Maybank pada 2012 yang menyebut tentang kehadiran Mohd Nazlan dalam perbincangan pembiayaan sebahagian kos pengambilalihan Tanjong Energy oleh 1MDB bernilai RM6.7 bilion.
“Perkara ini terdedah semalam ketika kita sedang bersoal jawab dengan saksi pendakwaan perbicaraan 1MDB, Azmi Tahir di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence. Tentukan ketika itu kita tidak dapat berbuat apa-apa tentangnya.
“Kini kita akan membuat permohonan di sini (Mahkamah Persekutuan) tentang pendedahan bagaimana Hakim Mohd Nazlan yang mendengar kes serta mengadili kes penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta juga adalah individu yang sama memainkan peranan dalam Kumpulan Maybank ketika pinjaman berbilion (ringgit) dibuat oleh 1MDB.
“Sepatutnya Hakim Mohd Nazlan Ghazali dari awal sudah memberitahu tentang peranan beliau dalam pinjaman Maybank kepada 1MDB untuk ambil alih Tanjong. Beliau sepatutnya mendedahkan dirinya cukup fasih (arif) dengan perjalanan dan kedudukan kewangan 1MDB pada masa itu lagi.
“Mohd Nazlan juga dikatakan terlibat dengan bahagian ‘recovery’ pinjaman tersebut jadi pasti adanya pertemuan dengan pelbagai individu yang kini adalah saksi kes 1MDB. Antaranya bekas penasihat undang-undangnya iaitu Jasmine Loo Ai Swan malah saya juga tidak akan terkejut jika beliau (Mohd Nazlan) pernah berjumpa Jho Low.
“Dan pastilah beliau pernah berjumpa dengan bekas Pengarah Eksekutif 1MDB, Casey Tang Keng Chee ketika itu. Kesemua nama-nama saya sebut ini adalah saksi penting dalam perbicaraan 1MDB,” katanya kepada media di lobi Istana Kehakiman sebentar tadi.
Pada 28 Julai 2020, Mohd Nazlan mensabitkan dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas mahkamah mendapati bekas Perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International.
Menurut Muhammad Shafee, sepatutnya Mohd Nazlan dari awal mendedahkan perkara itu kerana beliau sendiri adalah antara yang berpotensi untuk menjadi saksi penting kes 1MDB yang sedang dibicarakan ketika ini.
“Jika beliau telah dedah perkara itu dari awal lagi pasti kita sudah buat apa yang sepatutnya kerana Mohd Nazlan tidak sepatutnya menjadi hakim dan mendengar kes SRC dari mula lagi.
“Ini adalah prejudis kerana beliau menghakimi satu kes yang mana dirinya sendiri mempunyai pandangan tertentu, konflik berkepentingan. Kita tidak pasti lagi.
“Ingat ya, sebelum ini seorang hakim yang mendengar kes SRC itu terpaksa menarik diri dari mendengar kes kerana abangnya, hakim itu memegang jawatan dalam UMNO dan juga dalam kerajaan negeri. Pihak pembelaan juga akan gunakan alasan ini bagi permohonan kami baharu kami dalam kes rayuan ini dalam masa terdekat,” ujarnya.
Pada Julai 2018, Mohd Nazlan ditukarkan dari Mahkamah Komersial Baharu 1 (NCC) ke Mahkamah Jenayah 3 untuk mendengar kes SRC International setelah mengambil alih daripada hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak.
Majlis Peguam dilaporkan menggesa Mohd Sofian menarik diri daripada mendengar kes itu memandangkan abangnya, Mohd Soffi, memegang jawatan dalam UMNO Pahang yang mana Najib adalah Ahli Parlimen Pekan dan juga bekas Presiden UMNO.
Kata Muhammad Shafee, pihaknya akan mengemukakan permohonan kebenaran untuk mengemukakan keterangan baharu kepada Mahkamah Persekutuan bagi menunjukkan Mohd Nazlan yang menyabitkan Najib bersalah dalam perbicaraan terdahulu ada kaitan dengan kes tersebut dan sepatutnya bertindak menarik diri dari awal.
Hari ini, Najib membuat rayuan terhadap sabitan dan hukuman yang dikenakan terhadapnya di hadapan lima panel hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
Beliau bersidang bersama-sama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohd. Zawawi Salleh.
Mahkamah juga mendengar rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonannya untuk memasukkan bukti baharu dalam rayuan kes SRC International, antaranya penglibatan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar dengan Jho Low yang menyeleweng dana 1MDB dan anak syarikatnya SRC International.
Pada 7 Disember 2021, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk memasukkan bukti baharu itu dengan alasan tiada keadaan istimewa yang membolehkan keterangan baharu tersebut diterima.
Prosiding sedang berjalan ketika ini setelah berhenti rehat pada jam 1.10 tengah hari tadi. -MalaysiaGazette