Kuala Lumpur: Sindiket penipuan pembelian hartanah tumpas susulan penahanan 11 lelaki yang disyaki terbabit aktiviti itu hasil serbuan di sebuah premis di sini, malam tadi.
Serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields pada 7 malam.
Ketua JSJK Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, semua suspek berusia 22 hingga 36 tahun itu ditahan semasa serbuan dilakukan.
"Siasatan mendapati sindiket itu mula beroperasi sejak awal bulan ini.
"Mereka menawarkan kepada mangsa dari luar negara untuk membuat bidaan terhadap pembelian hartanah dan barang berharga yang disyaki tidak wujud.
"Nilai bidaan bermula daripada RM1,000 ke atas," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya merampas lima unit komputer riba pelbagai jenama, 29 telefon bimbit pelbagai jenama dan satu rangkai kunci rumah yang digunakan dalam kegiatan itu.
Menurutnya, semua suspek ditahan reman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dan sentiasa berwaspada serta membuat semakan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi pembayaran.
-HarianMetro