KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) di sini hari ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 6.47 pagi.
“Dalam kejadian 6.30 pagi itu, Proton Waja dipandu lelaki itu dipercayai terbabas memasuki laluan bertentangan lalu melanggar dua kenderaan lain.
“Sebuah jentera bersama tujuh pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi. Setibanya di lokasi mendapati kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu Proton Waja, Perodua Bezza dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard.
“Terdapat seorang lelaki berusia 37 tahun tersepit dalam kereta dan berjaya dikeluarkan anggota bomba. Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik Hospital Kuala Lumpur,” katanya.
Tambahnya, pemandu sebuah lagi kereta hanya mengalami cedera ringan dan pemandu MPV bersama anak perempuannya tidak cedera serta kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan berkata, aliran trafik di Jalan Kuching Selatan telah dibuka semula setelah kerja-kerja mengalihkan kenderaan yang terlibat kemalangan selesai pada pukul 8.45 pagi tadi.
“Telah berlaku satu kemalangan pada pukul 6.40 pagi tadi di Jalan Kuching ke Jalan Kinabalu. Kerja-kerja mengalihkan kenderaan yang terlibat kemalangan telah selesai pukul 8.45 pagi.
“Sila berhati-hati di jalan raya,” jelasnya.
– KOSMO! ONLINE