PETALING JAYA – Tak perlu menunggu lama, sebaliknya hanya dalam tempoh lima jam, tiket konsert Justin Bieber di Malaysia sudah habis terjual bagai pisang goreng panas.
Pembelian tiket atas talian yang dibuka pada 11 pagi habis dijual pada 4 petang, hari ini.
Tiket untuk Kategori 1-7 dan tempat duduk VIP, antara RM288-RM2,088, semuanya telah habis dijual dalam masa 3 jam sahaja.
Ramai pengguna media sosial telah meluahkan keluhan kecewa tidak sempat memperolehi tiket penyanyi pujaan mereka selama ini.
“Dah sold out dah tiket dia. ‘that should be hold your hand that should be me making you laugh that should be me this is so sad (lirik lagu Justin Bieber)”, tulis seorang pengguna Twitter @fieeismail.
“Justin Bieber Sold out. Jom move on. Tunggu Big Bang & Paramore pulak. Kot Yuna ke. Huhu”, seloroh pengguna media sosial @aiendgreat
Sementara itu, peminat yang gagal mendapat tiket sudah reda dan berharap penyanyi itu akan kembali lagi ke Malaysia selepas ini.
“Congratulations to the fellow Malaysians who got their ticket to the #JusticeTourMalaysia, I badly wanted to go but the cat 5 were sold out so quickly and I couldn’t afford the other cats…Justin Bieber, comeback to Malaysia again soon”, komen @jigejigumi di Twitter.
Terdahulu, penyanyi yang berasal dari Kanada itu mengumumkan penganjuran konsert Justice World Tour dan Malaysia sebagai sebuah destinasi pilihannya.
Sejak dunia, khususnya Malaysia dilanda pandemik, Bieber menjadi artis antarabangsa pertama yang turun mengadakan konsert di Malaysia.
Sebelum ini juga tular satu kecaman yang membandingkan keterujaan orang Malaysia terhadap konsert mengatasi minat mendekati agama , namun perkara tersebut tidak menghalang peminat untuk menantikan kehadiran Bieber ke Stadium Bukit Jalil pada 22 Oktober ini.
– KOSMO! ONLINE