Tun M dakwa tak mampu bantu penduduk Bukit Malut, tak ada peruntukan
LANGKAWI: Kerajaan perlu segera mencari kawasan baharu untuk penduduk Bukit Malut di sini supaya mereka dapat tinggal dalam keadaan selesa dan selamat. kata Tun Dr Mahathir.
Dr. Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, keadaan kawasan di penempatan tersebut didapati semakin padat dan tidak selamat.
“Semua rumah dekat-dekat, kalau jadi kebakaran, teruklah. Semua sekali akan terbakar dan ramai tak boleh nak lari pun, pasal tak ada buat jalan untuk bomba.
“Ini kerana (rumah) dibuat oleh orang ramai tanpa menurut peraturan. Kita nak kena reban (roboh) semuanya dan cari tempat untuk kita bangun secara teratur.
“Itulah, dia (penduduk) buat rumah tak ikut peraturan apa pun. Tanah milik siapa pun kita tak tahu,” ujarnya.
Tun Mahathir berkata, mereka perlu diberikan tempat baharu sebelum kerajaan negeri merobohkan rumah yang didirikan secara haram di tanah kerajaan negeri dan swasta itu.
Sehubungan itu menurutnya, kerajaan perlu menyediakan peruntukan untuk membangunkan penempatan baharu yang tersusun.
“Ahli Parlimen tak boleh buat apa-apa pasal Bukit Malut, kita tak ada peruntukan dan kita tak ada kuasa. Yang boleh buat adalah kerajaan. Kerajaan mesti beri perhatian kepada penduduk Bukit Malut,” katanya ketika ditemui selepas melawat Lang Agro Farm di Kampung Padang Gaong, Ulu Melaka di sini, hari ini.
Kebanyakan penduduk terbabit yang mendakwa bukan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar, sebaliknya merupakan rakyat Malaysia yang mahu diberi perhatian memandangkan mereka selama ini dipinggirkan oleh kerajaan ketika zaman 22 tahun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri.
Seorang ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sungai Tepa, Bukit Malut, Taufik Abdullah, 47, berkata, penduduk di perkampungan ini juga mempunyai hak untuk diberi penempatan yang lebih baik memandangkan mereka adalah rakyat Malaysia.
– UTUSAN