Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Wee Jeck Seng tunai janji taja jemaah umrah


SEPANG:  Rezeki terpijak buat seorang ibu tinggal anak lima apabila hasratnya untuk menunaikan umrah akhirnya tercapai selepas tertangguh sejak lima tahun lalu. 

Indra Kesumawati Abdullah, 48, yang juga seorang guru sekolah rendah adalah antara 15 orang yang terpilih untuk menunaikan ibadah umrah yang ditaja sepenuhnya oleh Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tanjung Piai. 

Indra Kesumawati berkata, dia pernah merancang untuk menunaikan umrah pada 2017, namun terpaksa tangguh kerana ketiadaan mahram. 

“Hasrat itu saya lupakan dahulu kerana wang yang disimpan untuk umrah saya terpaksa gunakan untuk menanggung kos pendidikan anak-anak yang kini berusia 10 hingga 23 tahun. 

“Saya berterima kasih kepada Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng di atas jemputan ini dan berharap lebih ramai lagi dapat diberi peluang ini pada masa depan,” katanya yang kini bertugas di Sekolah Kebangsaan Tengku Mahmud Iskandar 2, Pontian. 

Sementara itu, Jeck Seng ketika ditemui pada majlis pelepasan jemaah umrah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berkata, program tajaan umrah itu sepatutnya dilaksanakan dua tahun lalu, namun tertangguh akibat pandemik Covid-19.


Beliau yang juga Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi berkata, program ini akan dijadikan sebagai aktiviti tahunan sekali gus memberi peluang kepada pengundi di Tanjung Piai menunaikan ibadah umrah.

“Kami memperuntukkan RM100,000 bagi tajaan umrah ini dan jemaah terpilih adalah dalam kalangan B40,” katanya.

-UTUSAN