Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Yasin takut jadi gila jika tak dibebaskan dengan ikat jamin


Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini menolak permohonan Yasin Sulaiman untuk dibebaskan dengan ikat jamin, sementara menunggu perbicaraan kesnya mengedar dadah jenis ganja.

Majistret Zhafran Rahim Hamzah membuat keputusan itu selepas mendengar hujah tertuduh yang dia bimbang masalah kesihatan mental bipolarnya akan menyerang semasa dalam tahanan reman.

Yasin, 46, berkata dia khuatir masalah bipolar dihidapi sejak bertahun-tahun lalu kembali menyerangnya pada bila-bila masa sekiranya dia tidak mendapatkan rawatan segera.

“Saya ada ubat diberikan, tapi khuatir bila-bila masa kesihatan terjejas.

“Saya takut jadi gila seperti pernah berlaku tiga kali sebelum ni,” kata Yasin sewaktu dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Kompleks Mahkamah, Petaling Jaya hari ini.

Peguam belanya, Yusmadi Yusoff (gambar, bawah) turut mengambil maklum keadaan kesihatan bekas anggota kumpulan Brothers itu.


Pada prosiding hari ini, Yusmadi memberitahu mahkamah anak guamnya mengidap bipolar kronik.

Katanya, Yasin pernah menjalani rawatan perubatan sejak tahun 2009 termasuk dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

“Cuma, dia tak bercerita dekat orang pasal tahap kesihatannya. Itu yang bagus pasal dia.

“Proses rawatan berterusan sampai sekarang termasuk di hospital lain.

“Justeru, hak rawatannya perlu dipastikan. Dia kena dapat rawatan segera. Walaupun boleh dirawat di penjara, saya khuatir ia tidak menyeluruh,” katanya.

Menurut Yusmadi, sejak ditahan Yasin belum lagi menerima sebarang rawatan bipolar.

Pada masa sama, katanya, pengalaman dilalui Yasin adalah sesuatu yang tidak wajar memandangkan penyanyi itu sering memberi inspirasi kepada umum melalui pembabitannya dalam kerja-kerja sosial.

Justeru, Yusmadi juga berharap peminat dan rakan-rakan mendoakan urusan anak guamnya itu dipermudahkan.

“Dia perlu dibela sebab banyak memberi inspirasi. Tak wajar jika ada kenyataan dibuat mengenai Yasin yang dia memiliki ladang ganja mini.

“Saya rasa kenyataan tu perlu diperbetulkan, begitu juga kononnya memiliki sejumlah wang yang banyak,” katanya.

Yasin berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja di kediamannya pada 24 Mac lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Yasin mengaku tidak bersalah bagi satu lagi pertuduhan di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin di Mahkamah Sesyen.

Tertuduh didakwa menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah merah di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Bagi kedua-dua prosiding itu, mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap Yasin dan menetapkan 18 Mei ini untuk sebutan semula kes.

-Mkini