Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

1MDB: Roger Ng didapati bersalah, penjara 30 tahun


BEKAS pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa, yang dibicarakan berhubung skandal global 1Malaysia Development Berhad (1MDB) didapati bersalah di Mahkamah Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat.

Ng, 49, disabitkan dengan ketiga-tiga pertuduhan dalam kes itu, termasuk bersubahat untuk melanggar undang-undang antirasuah AS dan bersubahat untuk melakukan pengubahan wang haram.

Dia berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun, lapor Bloomberg.

Keputusan itu dibuat selepas perbicaraan persekutuan selama lapan minggu di Brooklyn, New York, yang menyaksikan pengakuan mengejutkan Tim Leissner, bekas bos Ng.

Leissner, yang mengaku bersalah, adalah saksi utama terhadap bekas jurubank Goldman Sachs Group Inc itu.

Leissner mengakui berbohong secara peribadi dan profesional dalam rompakan berbilion dolar wang 1MDB yang mana Goldman berperanan mengatur tiga urus niaga bon.

Ia merupakan kemenangan yang sukar oleh AS membabitkan penipuan dana kekayaan negara yang ditubuhkan untuk membantu rakyat dan ekonomi Malaysia tetapi sebaliknya digunakan untuk kepentingan pegawai kerajaan, jurubank dan pengantara dengan anggaran AS$2.7 bilion.

Jho Low yang didakwa sebagai dalang utama oleh AS, merasuah pegawai kerajaan untuk memenangi perniagaan bagi Goldman, serta AS$1.42bilion untuk dirinya sendiri, bagaimanapun masih bebas.


Hasil daripada penipuan itu digunakan untuk barangan termasuk kapal layar mewah AS$200 juta dan untuk membiayai filem "The Wolf of Wall Street."

Kes itu adalah rekod terburuk Goldman. Pada 2020, sebuah unit Goldman mengakui telah berkomplot untuk melanggar undang-undang antirasuah AS, pengakuan bersalah pertama bagi firma yang ditubuhkan pada 1869 itu.

Bank itu membayar lebih daripada AS$2.9 bilion, penalti terbesar seumpamanya dalam sejarah AS, dan lebih daripada AS$5 bilion di seluruh dunia untuk peranannya dalam skim penipuan itu.

Berita Asal: Awani