SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali melanggar prinsip institusi kehakiman.
Ini kerana menurutnya, institusi kehakiman mempunyai badan yang menyelia dan mengawal integriti para hakim dan ia ditetapkan untuk memastikan agar wujud pembahagian kuasa yang jelas di dalam sistem yang ada.
Justeru katanya, campur tangan SPRM dalam isu berhubung dakwaan wang RM1 juta yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun Mohd Nazlan melanggar prinsip tersebut.
“Integriti dan kebebasan badan kehakiman kelihatan beransur pulih akibat dari kecelaruan dan ketempangan berdekad-dekad lamanya tanpa ada usaha serius pemerintah untuk membetulkannya.
“Adalah dikhuatiri hebahan sebegini akan dianggap sebagai tekanan dan campur tangan politik,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
SPRM pada Sabtu, dilaporkan telah telah membuka kertas siasatan terhadap Mohd Nazlan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan mengesahkan bahawa siasatan terhadap Mohd Nazlan telah dimulakan berhubung dakwaan wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya.
-SinarHarian