KLANG: Seramai 43 pelajar lelaki Sekolah Agama Menengah Tinggi (SAMT) Sultan Hishammuddin di sini, terselamat apabila asrama sekolah itu terbakar.
Kejadian kira-kira pukul 9.30 malam tadi itu berlaku ketika semua penghuni tiada di asrama kerana menunaikan solat tarawih.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pukul 9.40 malam.
Katanya, operasi itu disertai sepasukan 29 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Kapar, Kota Anggerik, Shah Alam dan Subang.
“Setibanya di lokasi, kebakaran didapati melibatkan asrama di tingkat tiga bangunan sekolah berkenaan. Anggota kita bersama beberapa jentera kemudian segera memadamkan api yang sedang marak memusnahkan 70 peratus asrama itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Norazam, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kebakaran itu berjaya dikawal pukul 10.09 malam tadi.
“Kebakaran itu melibatkan sebuah bilik di tingkat berkenaan yang dihuni seramai 43 pelajar lelaki. Namun, semua pelajar berkenaan selamat kerana tiada di lokasi berkenaan dan menunaikan solat tarawih,” jelasnya
Tambah beliau, punca sebenar kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
– UTUSAN