Anggota Majlis Tertinggi Bersatu Razali Idris berkata partinya akan mencadangkan Presidennya Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri jika Perikatan Nasional (PN) menang pada pilihan raya umum akan datang.
Razali berkata Muhyiddin merupakan calon paling layak kerana dia telah membuktikan keupayaannya memimpin negara sepanjang 17 bulan menjadi perdana menteri sehingga Ogos tahun lalu apabila ahli parlimen Pagoh itu disingkirkan oleh sekumpulan ahli parlimen Umno.
"Bersatu akan mencadangkan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri pada PRU akan datang kerana beliau meletakkan jawatannya bukannya ditolak rakyat, sebaliknya ditolak oleh 15 ahli parlimen terutama daripada Barisan Nasional (BN) diketuai Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
"Muhyiddin akan dicadang sebagai calon perdana menteri kerana beliau adalah presiden parti berbanding Umno yang hanya mencadangkan naib presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob," kata Razali petik laporan Berita Harian.
Mana pergi pemimpin No 1, No 2 Umno?'
Kenyataan Razali itu selepas Majlis Tertinggi Umno pada Khamis mengumumkan untuk mengekalkan Naib Presidennya Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri jika BN menang pilihan raya umum ke-15.
Razali menegaskan Muhyiddin sebagai presiden Bersatu lebih senior dari segi hierarki parti berbanding jawatan naib presiden yang dipegang Ismail Sabri dalam Umno.
"Rakyat kehairanan, mengapa pemimpin yang berjawatan nombor tiga dicadangkan?
"Ke manakah perginya dan adakah pemimpin berjawatan nombor satu dan dua dalam parti itu tidak berkelayakan untuk dicalonkan," soalnya.
Razali berkata buat masa ini, Bersatu akan terus menyokong Ismail Sabri sebagai perdana menteri sehingga parlimen dibubarkan.
Kedua-dua PN dan BN merupakan sebahagian daripada parti pemerintah kerajaan hari ini tetapi telah bertanding sesama sendiri dalam pilihan raya.
PN terdiri daripada Bersatu, PAS, Star, Gerakan dan SAPP dan manakala BN diterajui Umno dan dianggotai MCA, MIC dan PBRS.
Semalam, Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyifatkan Umno bertindak "terburu-buru" apabila menamakan Ismail Sabri sebagai calon perdana menteri bagi PRU15.
-MalaysiaKini