Temerloh: Usaha dua beranak Orang Asli menangkap ikan berakhir dengan tragedi apabila mereka terkorban dipercayai terkena renjatan elektrik.
Mereka dikatakan merenjat ikan di anak sungai di ladang kelapa sawit Batu Sawar Dua, Kuala Krau, di sini, semalam.
Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa berusia 45 tahun dan anaknya berusia 16 tahun dari Kampung Orang Asli Paya Sendayan, Lipat Kajang, di sini.
Katanya, kedua-dua mangsa keluar untuk menangkap ikan petang Sabtu lalu namun tidak pulang dan penduduk kampung berusaha mengesan mereka hingga jam 10 malam namun tidak berjaya menemuinya.
"Saksi yang juga penduduk kampung menemui mangsa terbaring di tepi sungai dipercayai terkena renjataan buatan sendiri pada jam 3.40 petang semalam.
"Turut ditemukan bersama mangsa adalah bateri kereta dan wayar serta peralatan menangkap ikan dipercayai yang digunakan untuk merenjat ikan," katanya, dihubungi di sini, hari ini.
Mayat dua mangsa berkenaan dihantar Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh untuk bedah siasat.
Ramli berkata, orang ramai dinasihatkan tidak melakukan aktiviti yang boleh memudaratkan diri dan orang lain, sebagai contoh menggunakan bateri kereta untuk tujuan menangkap ikan termasuk yang luar batasan biasa.
Katanya, polis akan menyiasat kejadian berkenaan sekiranya aktiviti berkenaan sering kali dilakukan di kampung terbabit.
Sementara itu Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Pahang, Johari Alwi berkata, pihaknya menasihatkan penduduk Kampung Orang Asli Paya Sendayan supaya tidak cuba menggunakan peralatan yang dilarang untuk menangkap ikan.
"Saya berharap kejadian yang mengorbankan dua penduduk kampung semalam tidak berulang seterusnya menjadi pengajaran kepada pihak lain supaya mengelak menggunakan peralatan yang dianggap merbahaya," katanya.
video: