Melaka: Hubungan terlarang sepasang chef terbongkar selepas ditahan di sebuah hotel bajet di bandar ini, hari ini.
Mereka ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) pada 1.30 pagi dalam operasi yang dijalankan hasil makluman awam.
Pengarah Jaim, Datuk Che Shukri Che Mat berkata, ketika ditahan, pasangan itu gagal menunjukkan bukti hubungan mahram atau suami isteri dan memberi alasan mereka hanya berehat di hotel itu.
"Lelaki berusia 40 tahun berasal dari Sabah, sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak, manakala pasangannya berumur 20-an masih bujang.
"Dia (lelaki) mengenali pasangannya sejak setahun lalu dan mendakwa sudah dua tahun tinggal berjauhan dengan isteri yang bekerja di Selangor," katanya dalam kenyataan di sini.
Menurut Che Shukri, pasangan itu disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman atau berkurung (khalwat) yang mendatangkan syak melakukan maksiat.
Katanya, sabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.
-utusan