Aktivis dan pereka grafik Fahmi Reza dibebaskan selepas direman dua hari bagi membantu siasatan polis berhubung hantaran karikatur monyet berpakaian seragam istana berwarna kuning, yang dimuat naik di media sosialnya.
Fahmi memaklumkan perkara itu melalui hantaran di Facebook miliknya pagi tadi, dengan nada berbaur sindiran yang menggambarkan pengalamannya berada di situ seperti di “hotel empat bintang”, kerana disediakan “juadah bersahur dan berbuka puasa”.
“Aku dah check out dari Hotel Dang Wangi. Pakej penginapan dua hari satu malam courtesy of Mojo Jojo! Great location, perfect vibes, and amazing hospitality! Food was tasty, siap dapat complimentary sahur dan iftar sent to my room. Would love to return in the future," tulisnya.
Sebelum ini, Fahmi berkata dia menerima panggilan daripada Bukit Aman, tidak sampai 15 jam selepas karya itu dimuat naik.
Pada 14 April, polis mengesahkan menyiasat Fahmi susulan penyiaran “karikatur kartun monyet berpakaian seragam istana berwarna kuning” di media sosial pereka grafik kontroversi itu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Abd Jalil Hassan juga mengesahkan Fahmi disiasat bawah Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
-MalaysiaKini