Dakwaan Bainun pijak lutut Bella, laporan perubatan sahkan tidak patah atau retak -peguambela
Labels:
Isu Semasa
KUALA LUMPUR - Penghuni Rumah Bonda,Yasmin Nahar Mahmood memberitahu mahkamah bahawa Siti Bainun memijak lutut Bella dan disoal peguam itu berapa kali.
Lutut bella dipijak dari Mac hingga Jun tahun lepas, saksi itu menjawab: Tidak pasti.
Nur A’minahtul Mardiah: Saya cadangkan berat Siti Bainun 150 kilogram, jadi kalau dia pijak lutut Bella boleh patah, tetapi laporan perubatan menyatakan lutut Bella tidak patah dan tidak retak, Yasmin tahu atau tidak?
Yasmin menjawab: Tidak tahu.
Kepada soalan lain, Yasmin bersetuju dengan cadangan peguam bahawa Bella perlu berdiri setiap hari atas arahan Siti Bainun.
Susulan itu, satu klip video ditayangkan yang mana peguam bertanya soalan apakah yang dilakukan oleh Bella dan saksi itu menjawab: Bella sedang mengutip nasi, Bella tidak berdiri dan tidak duduk.
Nur A’minahtul Mardiah mencadangkan sekiranya Bella disuruh berdiri setiap masa, remaja sindrom down itu akan mengalami 'inflammation' atau keradangan di lutut serta kaki tidak boleh bergerak.
Yasmin menjawab: Tidak tahu.
Dalam prosiding hari ini, mahkamah telah menayangkan satu klip video yang memaparkan Bella mula-mula ditemui oleh pengadu kes ini iaitu saksi pendakwaan pertama Zurianty Sudin, 39, bagaimanapun, pihak media dan orang awam tidak dibenarkan berada dalam mahkamah.
Sejurus tayangan video selesai ditayangkan, Nur A’minahtul Mardiah bertanya kepada saksi itu apabila Zurianty merakam video tersebut tiada satu kali pun Bella menyebut nama Siti Bainun, 'bonda' atau apa-apa panggilan lain dan Yasmin menjawab: Ya, betul.
Yasmin kemudian bersetuju dengan cadangan peguam bahawa dalam rakaman itu Zurianty atau lebih dikenali sebagai 'Mommy' ada bertanyakan kepada Bella siapa yang mengikat remaja itu dan Bella menjawab: 'Shomin'.
Nur A’minahtul Mardiah: Yasmin kata semua terkejut sebab Mommy Zu (Zurianty) tiba-tiba datang dan kemudian buat rakaman dan Yasmin menjawab: Betul.
Nur A’minahtul Mardiah: Jadi jawapan Bella yang sebut nama 'Shomin' juga spontan? Yasmin menjawab: Ya.
Dalam keterangan sebelum ini, Yasmin memberitahu mahkamah bahawa 'Shomin' itu merujuk kepada dirinya.
Sementara itu, Yasmin berkata Bella tidak memberikan sebarang reaksi ketika minum satu penutup cecair pelembut pakaian jenama Softlan.
"Tak ada (reaksi). Dia minum sahaja, lepas itu dia diam,” kata saksi itu yang kemudiannya bersetuju dengan cadangan peguam bahawa tiada pelembut pakaian jenama Softlan digunakan di rumah itu sebaliknya pelembut pakaian jenama Downy.
Yasmin juga tidak bersetuju dengan cadangan peguam bahawa semua cerita mengenai Bella makan nasi bercampur cuka dan makan cili adalah satu cerita yang disatukan daripada cerita-cerita di Facebook dan beliau juga tidak bersetuju bahawa beliau kena pastikan semua cerita selari dengan yang apa yang diperkatakan bagi mengelakkan ‘Justice For Bella’ menjadi malu.
Siti Bainun, 30, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021. Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan bersambung esok.
- Bernama