PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menolak kritikan berhubung siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Nazlan Mohd Ghazali dan berkata pihaknya mempunyai kuasa untuk menyiasat mana-mana pegawai badan awam termasuk hakim.
Dalam kenyataan, SPRM berkata pihaknya diberikan kuasa untuk menyiasat kes jenayah rasuah bawah Akta SPRM 2009.
SPRM menjelaskan “pegawai badan awam” adalah mana-mana orang yang menjadi anggota, pegawai, pekerja atau pekhidmat sesuatu badan awam.
“Termasuklah anggota pentadbiran, ahli Parlimen, ahli Dewan Undangan Negeri, hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan dan mana-mana orang yang menerima apa-apa saraan daripada wang awam,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim membidas tindakan SPRM menyiasat Nazlan, dianggap sebagai cubaan memberi tekanan dan campur tangan politik.
Beliau berkata, institusi kehakiman sendiri mempunyai badan yang menyelia dan mengawal integriti hakim.
Nazlan disiasat kerana didakwa memiliki RM1 juta dalam akaunnya yang tidak dapat dijelaskan.
Hakim itu membuat laporan polis berhubung tuduhan berkenaan sambil berkata, ia adalah “palsu, tidak berasas dan berniat jahat” serta bertujuan menjatuhkan kredibilitinya sebagai hakim Mahkamah Rayuan.
Dalam pada itu, SPRM berkata sebelum ini pihaknya mempunyai rekod menyiasat hakim yang mana kertas siasatan berkaitan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk membuat penilaian.
“Selaras prinsip pengasingan kuasa, setelah semua proses siasatan selesai dilakukan, kertas siasatan akan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara untuk membuat keputusan sama ada melakukan pendakwaan atau sebaliknya,” katanya.
Berhubung siasatan terhadap Nazlan, suruhanjaya itu telah menerima satu aduan pada 15 Mac lalu disusuli dua lagi pada 23 dan 27 April lalu.
“Siasatan ini masih berada di fasa awal dan melibatkan kepentingan awam.
"Harus dijelaskan bahawa apabila sesuatu siasatan dijalankan terhadap mana-mana individu, ia tidak bermakna individu tersebut telah melakukan kesalahan,” katanya.
SPRM memohon masyarakat umum memberi ruang untuk proses siasatan dijalankan mengikut lunas undang-undang ditetapkan.
-FMT