Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

'Kami terima pemergian Nagaenthran' -Keluarga


Ipoh: "Kami sedih dan menerima hukuman ini dengan hati yang sangat berat. Kami terima Nagen sudah tidak bersama kami," kata Sharmila Dharmalingam.

Sharmila, 36, adalah kakak kepada mendiang Nagaenthran Dharmalingam, rakyat Malaysia yang menjalani hukuman mati di Penjara Changi, Singapura pagi tadi kerana kesalahan mengedar dadah.

Sharmila berkata, keputusan itu sangat berat untuk diterima selepas berusaha membuat rayuan terakhir untuk mencabar keputusan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman mati terhadap adiknya itu.

Menurutnya, mereka sekeluarga juga tidak berpuas hati dengan hukuman itu kerana mendakwa timbalan pendakwa raya tidak bertanyakan kandungan rayuan keluarganya.

"Kami sangat sedih, tetapi kami hanya manusia biasa, kami tidak tahu bagaimana untuk meluahkan perasaan kami.

"Kami berasa marah, tetapi kami hanya rakyat biasa. Apabila kami memfailkan rayuan, mereka bertanya kepada kami siapa yang membantu kami, adakah ada peguam dalam keluarga?" katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Indah di sini, hari ini.

Sharmila berkata, mereka sekeluarga juga berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakan mendiang adiknya itu.

"Terima kasih kepada semua orang yang mendoakan mendiang di Singapura dan Malaysia serta yang mendoakan mendiang di media sosial sehingga kini," katanya.

Awal pagi tadi, media melaporkan hukuman mati terhadap Nagaenthran, 34, anak kedua daripada empat beradik itu dilaksanakan di Singapura hari ini selepas cabaran undang-undang terakhir yang dibuat oleh ibunya, gagal dalam kes berprofil tinggi itu yang turut menarik tumpuan antarabangsa untuk pengampunan.


Pada Selasa lalu, Mahkamah Rayuan Singapura menolak rayuan terakhir yang difailkan ibu Nagaethran untuk mencabar keputusan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman mati terhadap anaknya.

Nagaenthran dijatuhi hukuman mati pada 2010 kerana mengedar 42.72g heroin pada 2009 ke Singapura, yang diketahui antara negara yang mempunyai undang-undang narkotik paling tegas di dunia.

Dia sepatutnya menjalani hukuman pada 10 November 2021, tetapi memperoleh penangguhan sementara pada 9 Nov selepas mahkamah diberitahu dia positif Covid-19 ketika hadir untuk rayuan terakhir terhadap hukuman matinya.

-HMetro