Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Kes 1MDB: Pengurusan 1MDB tidak pernah minta persetujuan Najib -saksi

Tan Sri Ismee

KUALA LUMPUR : Mahkamah Tinggi di sini diberitahu pihak pengurusan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak mendapatkan persetujuan Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan nota jaminan Murabahah usaha sama dengan PetroSaudi International (PSI).

Bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB, Tan Sri Ismee Ismail berkata, bekas Perdana Menteri itu tidak pernah beri kelulusan kepada pengurusan 1MDB menukar pelaburan PSI di bawah artikel 117 perlembagaan syarikat untuk mendapatkan kelulusan Najib dalam hal pelaburan berkaitan dasar negara.

Mengikut Artikel 117 Memorandum dan Artikel Persatuan 1MDB, setiap keputusan penting syarikat perlu mendapatkan arahan dan dan kelulusan Perdana Menteri.

“Berdasarkan dokumen ditunjukkan, tiada,” jawab Ismee kepada ditanya sewaktu sesi soal balas peguam utama Najib, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah sama ada anak guamnya memainkan peranan dalam penukaran kepada nota Murabahah.


Sebelum ini, mahkamah dimaklumkan berhubung satu perjanjian bahawa 1MDB bersetuju menukar 40 peratus kepentingannya dalam syarikat usaha sama 1MDB-PetroSaudi International Limited dibelinya pada harga AS$1 bilion kepada pinjaman Islam kepada syarikat sama.

Perjanjian itu menyaksikan 1MDB bersetuju menjual 40 peratus saham kepada syarikat usaha sama itu dengan memberikan pinjaman Islam melalui nota Murabahah kepada syarikat usaha sama tersebut pada nilai AS$1.2 bilion.

Dengan penukaran kepada nota Murabahah, syarikat usaha sama itu di atas kertas akan berhutang AS$1.2 bilion kepada 1MDB dan secara berkesan berjaya memberikan 1MDB keuntungan atas kertas AS$200 juta selepas mengambil kira permulaan AS$1 bilion.

Dalam pada itu, Ismee juga bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi tidak memaklumkan lembaga pengarah mengenai keperluan untuk mendapatkan persetujuan Najib.

Beliau hanya mengetahui selepas banyak kali nota murabahah itu ditukar kepada ekuiti dan mendakwa bertujuan agar tidak diketahui oleh lembaga pengarah dan auditor.

Katanya, perkara itu mesti dibangkitkan oleh lembaga pengarah jika mereka tahu mengenainya.

Saksi pendakwaan ke-13 itu memberikan keterangan terhadap Najib, 68, yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. 

–UTUSAN ONLINE