Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Kes Basikal Lajak: Pembelaan Sam adalah penafian kosong


PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi mendapati Sam Ke Ting bersalah kerana memandu secara melulu hingga mengakibatkan kematian lapan remaja menaiki basikal lajak selepas dia gagal mengemukakan pembelaan pada peringkat pendakwaan perbicaraannya.

Hakim Abu Bakar Katar berkata, kenyataan tidak bersumpah kerani berusia 27 tahun itu dari kandang tertuduh selepas mahkamah memberitahunya untuk membela diri adalah penafian kosong yang difikirkan kemudian.

“Responden (Sam) menyatakan dia tidak nampak sekumpulan penunggang basikal dan ada kenderaan lain yang melanggar mangsa,” katanya dalam penghakimannya yang panjang lebar.

“Versi ini tidak dibangkitkan pada peringkat pendakwaan.”

Abu Bakar berkata, majistret itu terkhilaf kerana menganggap pembelaan Sam telah menimbulkan keraguan dalam kes pendakwaan.

Beliau berkata, pihak pendakwaan telah membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah.

Hakim berkata, Sam memandu kenderaannya secara melulu, dengan mengambil kira jalan itu berliku dan sedikit curam.

“Majistret terkhilaf menerima pembelaannya bahawa dia tidak tahu ada penunggang basikal di tempat itu pada awal pagi dan ia memberinya peluang untuk memandu secara melulu,” katanya.

Katanya, Sam sepatutnya sedar bahawa tempat kejadian kemalangan itu gelap dan penglihatan seseorang juga terhad.

“Dia harus sedar tentang risiko memandu melebihi had laju 50km sejam,” tambahnya.

Pada Rabu, Abu Bakar menjatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 terhadap Sam selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Majistret yang membebaskannya.


Dia dituduh mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda RM20,000 jika sabit kesalahan.

Lapan mangsa yang maut ialah Azrie Danish Zulkefli, 14 (meninggal dunia di tempat kejadian); Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Azhar Amir, 16; Harith Iskandar Abdullah, 14; Shahrul Nizam Marudin, 14; dan Haizad Kasrin, 16.

Kejadian berlaku di sepanjang Jalan Lingkaran Dalam di Johor Bahru pada 3.20 pagi, 18 Feb 2017.

Hakim turt menolak permohonan Sam untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara serta-merta.

Peguam Faizal Mokhtar berkata, notis mengenai usul kebenaran merayu dan menangguhkan pelaksanaan hukuman itu difailkan semalam.

Rayuan Sam terhadap sabitan dan hukuman hanya boleh didengar jika peguamnya berjaya mengemukakan persoalan undang-undang yang baharu.

Berikut adalah penghakiman tersebut: