PETALING JAYA: Penyanyi Radhi OAG mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan bekas isterinya dalam satu kejadian di Kota Damansara di sini, Selasa lalu.
Muhammad Radhi Razali, 45, didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Nur Shahira Ayu Zahiri, 28, pukul 2.29 petang, 19 April lalu di parkir sebuah kondominium di Kota Damansara di sini.
Penyanyi kumpulan rock alternatif itu tiba di pekarangan mahkamah pukul 8.53 pagi menaiki van polis.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun dan denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Majistret Muhammad Iskandar Zainol membenarkan penyanyi itu dibebaskan dengan jaminan RM2,500 beserta syarat tambahan saksi-saksi tidak diganggu sepanjang perbicaraan.
Mahkamah menetapkan 17 Julai ini untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Wafi Husin menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan pengadu kes tidak diganggu.
Bagaimanapun, peguam Haziq Aizuddin Subhi yang mewakili Muhammad Radhi memohon jaminan yang rendah kerana jumlah yang ditawarkan itu tinggi untuk dijelaskan oleh anak guamnya yang tidak mempunyai pendapatan tetap.
Peguam bela berkata, jaminan yang tinggi akan menyukarkan tertuduh untuk memelihara anak-anak yang masih kecil yang kini di bawah jagaannya.
“Saya percaya tertuduh akan memberikan kerjasama yang baik,” ujarnya.
Akhbar sebelum ini melaporkan polis menahan penyanyi itu di kediamannya Selasa lalu selepas mangsa membuat laporan pada hari yang sama.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kejadian berlaku ketika mangsa mahu mengambil anak lelaki mereka daripada suspek di kawasan parkir kediaman bekas suaminya pada 2.29 petang.
Bagaimanapun, menurut beliau, berlaku perselisihan faham kerana mangsa enggan bergambar bersama lelaki terbabit.
“Suspek berusia 45 tahun itu kemudian memarahi dan memukul badan pengadu menyebabkan kesan lebam dan sakit pada anggota badan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Mohamad Fakhrudin, hasil ujian saringan air kencing dilakukan terhadap suspek didapati negatif.
Pada Julai 2019, Radhi sah bercerai talak satu dengan Nur Shahira Ayu di Mahkamah Rendah Syariah. Mereka mempunyai dua orang anak.
Sebelum itu, Radhi pernah mendirikan rumah tangga dengan Shazlin Sharif pada 1 Januari 2005 sebelum berpisah pada 8 Jun 2010.
Hasil perkahwinan dengan Shazlin, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Rifdi Muslim yang kini berusia 14 tahun
-UTUSAN