KUALA LUMPUR: Penulis Uthaya Sankar SB yang ditahan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini selepas memuat naik satu hantaran berunsur penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW dalam akaun Facebook miliknya akan dibebaskan dengan jamin, petang ini.
Perkara itu disahkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Selasa.
Katanya, polis memohon perintah reman selama empat hari namun ditolak.
Namun demikian siasatan kes ke atas suspek akan diteruskan, kita cuma bebaskan dengan ikat jamin... siasatan tetap berjalan," jelasnya.
Dalam pada itu, Malaysiakini yang memetik peguam Uthaya Sankar, Rajsurian Pillai sebagai memberitahu, Majistret Sharifah Muhaymin Abd Khalid yang mendengar kes itu menolak permohonan reman yang dikemukakan polis mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Menurutnya, permohonan reman itu didengar di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi pagi tadi, lokasi penulis itu ditahan.
"Polis cuba dapatkan perintah tahanan reman selama empat hari, namun dibantah oleh saya dan majistret hanya bagi sehari dan akan dibebaskan pukul 6 petang ini," kata Rajsurian.
Pada Isnin, polis menahan lelaki berusia 50 tahun itu di rumahnya di Taman Sri Muda di Shah Alam bagi membantu siasatan berhubung hantaran berunsur penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW di laman Facebooknya.
Suspek itu ditahan kira-kira pukul 11.15 pagi dan polis merampas telefon bimbit yang digunakan memuat naik hantaran berkenaan.
Siasatan itu dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan Undang-Undang (D5) JSJ Bukit Aman.
Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan atas alasan agama suasana tidak harmoni atau perasaan permusuhan atau memudaratkan perpaduan.
Selain itu, kes juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar terhadap kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
-Awani