Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Miss Thailand dipenjara 9 bulan di Melaka


Melaka: Padah melacurkan diri dan memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan sah, seorang wanita warga asing dipenjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, tadi.

Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh turut memerintahkan tertuduh, Miss Kanokon Phuangpanya, 32, dirujuk kepada Jabatan Imigresen bagi tujuan penyingkiran.

Terdahulu, wanita warga Thailand itu mengaku bersalah atas tuduhan dibacakan terhadapnya mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan.

Mengikut kesalahan itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan, Miss Kanokon didapati mencari pelanggan bagi tujuan pelacuran pada jam 4.45 petang, 13 Januari 2021 di sebuah rumah di No B-15-04, Jalan Melaka Raya 8, Taman Melaka Raya, dalam Daerah Melaka Tengah, di sini.

Bagi pertuduhan kedua, pada tarikh, tempat dan masa sama dia didapati tidak memiliki sebarang pas yang sah untuk masuk ke Malaysia.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 6 (3) akta sama, memperuntukkan hukuman denda maksimum 10,000 atau penjara maksimum lima tahun dan sebatan tidak lebih enam sebatan.


Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam dan tiga bulan bagi pertuduhan pertama dan kedua, masing-masing serta menetapkan pemenjaraan berkuatkuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada 13 Januari 2021.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishar berhujah supaya tertuduh dikenakan hukuman setimpal kerana memasuki negara ini tanpa dokumen sah dan melakukan jenayah.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bela memberitahu mahkamah dia berada di negara ini selama lapan bulan sebelum ditangkap dan merayu dihantar pulang segera ke Thailand.

-HarianMetro