KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin bimbang pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat parti menjadikan ahli parti takut menegur kepemimpinan mereka kerana akan dipecat.
Jelasnya, kerajaan perlu mengkaji semula definisi ‘lompat parti’ supaya ia tidak menjadi RUU yang zalim kepada wakil rakyat sekiranya pemecatan itu berlaku kepada mana-mana individu dalam parti.
“Saya tidak bersetuju seorang di parlimen yang dipecat dari partinya atau meninggalkan partinya atas sebab-sebab tertentu dikira sebagai lompat parti dan perlu mengosongkan kerusinya serta-merta. Ada banyak sebab seorang ahli parlimen dipecat daripada parti atau meninggalkan partinya. Ada yang dipecat kerana melanggar disiplin parti.
“Sekiranya undang-undang antilompat parti terpakai dalam semua keadaan tanpa pengecualian maka undang-undang yang diperkenal ini adalah zalim.
“Saya fikir sekiranya inilah kedudukan undang-undang yang akan terpakai, maka tidak akan ada ahli parlimen yang berani menegur pemimpin parti yang melakukan kesilapan dan kemungkaran yang mengamalkan rasuah dan penyelewengan, kerana bimbang dipecat oleh parti seterusnya hilang kerusi parlimen yang disandar.
“Ini akan menjadi satu titik hitam dalam sejarah amalan demokrasi di negara kita,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti di Parlimen, hari ini.
– UTUSAN