Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Penyokong Perak FC sumbang derma kepada pemain tak dibayar gaji


PETALING JAYA: Penyokong Perak FC yang menghadiri perlawanan skuad itu menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) II di Stadium Perak, Ipoh semalam, menyumbang kepada pemain skuad terbabit yang dilaporkan tidak dibayar gaji.

Selain aksi semalam, Berita Harian melaporkan penyokong Perak turut berbuat demikian ketika menghadiri aksi sebelum ini.

Dalam video tular di media sosial, sumbangan dianggap “duit raya” yang diletakkan dalam bekas plastik itu diserahkan wakil penyokong kepada kapten Perak FC, Firdaus Saiyadi selepas perlawanan semalam.



Selain berdepan cabaran tidak dibayar gaji, The Bos Gaurus turut menghadapi masalah kekurangan pemain kerana hanya mempunyai empat pemain simpanan, termasuk dua penjaga gol.

"Duit raya, duit raya. Selamat hari raya semua,” itu antara perkataan yang didengar dalam video tular itu.

Kebanyakan pengguna media sosial memuji usaha penyokong dan bersimpati dengan nasib pemain serta barisan jurulatih skuad itu.

Perak kini di kedudukan tercorot Liga Perdana dengan kutipan negatif enam mata, selepas hanya menang sekali dan tewas empat kali sepanjang musim ini, susulan hukuman Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang memotong sembilan mata keseluruhan pasukan itu kerana isu tunggakan gaji.

Isu itu belum selesai dengan badan bebas “First Instance Body” (FIB) masih memberi talian hayat kepada Perak FC apabila meluluskan permohonan pengurusan pasukan itu untuk menyelesaikan rundingan pertukaran pemilikan sehingga 29 April ini.

Dalam pada itu, ketua jurulatih Perak, Yusri Che Lah tidak menyalahkan pemainnya atas kekalahan 1-3 kepada JDT II semalam.


“Syukur dengan pemain saya yang masih mampu berlari 90 minit, senario yang sukar dan tak semua orang mampu buat sebenarnya. Kita tahu keputusan tidak menyebelahi kita dan corak permainan tidak seperti perlawanan terdahulu.

Mungkin keletihan, dan keletihan kita ini banyak sebab, Tidak hanya keletihan disebabkan perlawanan yang berterusan, tapi kekuatan mental kita agak sudah goyang, teruk saya nampak hari ini. Mungkin pemain semua sudah tidak mampu untuk mengekalkan seperti mana sebelumnya.

“Terima kasih kepada pemain, walaupun dalam keadaan sebegini, mereka masih memberi komitmen yang baik.”

-FMT